Selasa, 15 November 2011

Debaran hari pertama


LIMA pelajar meneliti soalan Bahasa Melayu 1 di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Baru, Melaka, semalam. – utusan/azli ahad


KUALA LUMPUR 14 Nov. – Seramai 468,808 pelajar menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 di 3,533 buah pusat peperiksaan seluruh negara mulai hari ini hingga 14 Disember depan.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati calon-calon menggunakan masa terluang mengulang kaji pelajaran buat kali terakhir sebelum memasuki dewan sekolah masing-masing bagi mengikuti peperiksaan Bahasa Melayu kertas 1 bermula pukul 8 pagi.

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cochrane, Shamsiah Ahmad berkata, pihaknya membuat persediaan sejak Februari lalu bagi membantu pelajar menghadapi peperiksaan tersebut.

“Saya minta calon-calon supaya tidak gugup dan yakin dengan diri sendiri,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Sementara itu di PAHANG, seramai 22,490 calon termasuk 23 calon keperluan khas menduduki peperiksaan tersebut di 201 pusat peperiksaan.

Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Yahya Zainal Abidin berkata, jumlah tersebut turut merangkumi 450 calon daripada kalangan Orang Aslidi Kuantan, Rompin dan Pekan.


empat calon orang kurang upaya (OKU) memasuki dewan bagi menduduki peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Lintang, Kuching, Sarawak, semalam. – utusan/AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN


Di KEDAH, Jabatan Pelajaran negeri akan menyediakan pusat peperiksaan alternatif jika sekolah-sekolah yang terlibat dengan peperiksaan SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dilanda banjir.

Pengarahnya, Mansor Lat berkata, berdasarkan banjir tahun lalu, pihaknya telah mengenal pasti 18 sekolah di Pendang, Kota Setar, Kubang Pasu dan Padang Terap yang berisiko tinggi dinaiki air.

Di MELAKA, seramai 15,534 pelajar tingkatan lima menduduki peperiksaan berkenaan di 112 pusat peperiksaan seluruh negeri.

Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Mohd. Yusuff Osman berkata, jumlah pelajar pada tahun ini meningkat sebanyak 114 orang berbanding 15,420 orang tahun lalu.

“Daripada jumlah itu, seramai 13,334 calon daripada sekolah di bawah Kementerian Pelajaran, 804 calon Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), 116 calon sekolah swasta dan 1,132 calon persendirian,” katanya.

Di KELANTAN, seramai 36,333 calon SPM menduduki peperiksaan tersebut di 282 pusat bermula hari ini.

Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Hussain Awang berkata, daripada jumlah tersebut seramai 28,087 merupakan calon sekolah kerajaan, MRSM (650 calon), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) (136 calon) dan sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) 4,935 calon.


Utusan Malaysia Online: 15 November 2011

Tiada ulasan: