Sabtu, 12 November 2011

Guru jangan panik dengan projek rintis KPM - Ka Siong

12/11/2011 9:17pm

ALOR SETAR 12 Nov. — Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong hari ini menasihatkan para guru agar tidak panik dengan projek rintis sistem bekerja sembilan jam Kementerian Pelajaran.

Projek itu yang akan dilaksanakan mulai Januari tahun depan di empat negeri - Pahang, Melaka, Johor dan Sarawak - berasaskan satu kajian di Melaka Tengah yang mengenalpasti tempoh bekerja yang ideal bagi guru.

"Jadi saya rasa mungkin ada guru-guru yang khuatir kerana mereka merasakan tempoh sembilan jam waktu bekerja itu tidak mengambil kira waktu persediaan mengajar dan juga penglibatan dalam ko-kurikulum. Saya rasa semua itu akan diambil kira,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Wisma Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) Kedah di sini hari ini, Ka Siong berkata, projek itu bagi melihat sama ada benar pendapat orang ramai bahawa tugas seorang guru itu sangat mudah.

"Saya harap semua guru di empat negeri tersebut tidak perlu risau kerana kita hanya membuat percubaan. "Apabila projek rintis itu meyakinkan kita dan kita dapat membuat kesimpulan secara konkrit, barulah kita memperluaskannya ke semua sekolah di seluruh negara,” katanya.

"Jangan anggap itu (projek rintis) sebagai satu kata putus dari kementerian.

Biar mereka lakukan dahulu dan melihat hasilnya,” kata Ka Siong. — Bernama

Utusan Malaysia Online: 12 November 2011

7 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Mula kerja pukul 7.30 dan balik pukul 4.30 petang. Selepas itu, tak perlu fikir tentang kerja macam kerja di pejabat. Terbaik.

Guru Borneo berkata...

confirm ke boleh buat macam tu Encik Tanpa Nama di atas?

Tanpa Nama berkata...

Ramai orang cemburu dengan guru-guru tetapi mereka tak tahu bahawa guru-guru sebenarnya kerja lebih dari 9 jam sehari pada puratanya. Guru-guru kena kerja hari Sabtu dan keadaan dalam guru bertugas bukan seperti kakitangan awam lain. Guru-guru masuk kelas dan kena menjerit dan usaha supaya pelajar pelajar faham P & P.

guru lama berkata...

Guru boleh sahaja kerja sampai jam 5 petang, tapi bagaimana dengan murid?? sudahkah KPM buat analisis kemampuan murid belajar hingga jam 4 petang???

Bagaimana dengan sekolah-sekolah luar bandar di Sabah dan Sarawak yang mempunyai bilangan pelajar yang tinggal jauh dari sekolah dengan jalanraya yang tidak berturap dan jalan-jalan yang gelap

Untuk pengetahuan, para pegawai di KPM ada pelajar yang pulang jam 3 petang tapi sampai di rumah jam 7 malam. Jadi, bayangkan kalau pelajar pulang jam 4 petang mungkin jam 7.30 malam baru sampai. Waktu di Semenanjung Malaysia tidak sama dengan di Sabah dan Sarawak. Jam 7.00 petang di SM masih siang tapi di Sabah dan Sarawak, jam 7 tu sudah gelap, tak boleh lagi dipanggil petang tapi malam dah..

guru lama berkata...

INI AMARAN KEPADA SEKOLAH YANG SUKA MINTA PUJI DAN KONONNYA NAK IKUT SERTA DENGAN SEKOLAH-SEKOLAH DI 4 NEGERI..

Jangan pandai-pandai Buat Jadual 9 jam sebelum ada pekeliling...

kalau iapun tunggulah sampai ada arahan sebenar..sekadar projek perintis itu belum muktamad..

Tanpa Nama berkata...

SOKONG GURU LAMA!
Ayuh, bangkit lah guru-guru.

Tanpa Nama berkata...

Seronoknya kalau tak perlu bawa kerja di rumah. Kerja hanya terhad dari pukul 7.30 pagi hingga 4.30 petang sahaja. Hari Sabtu dan Ahad tidak perlu ke sekolah. Malam tiada kelas tambahan. Kalau nak key-in data, markah dan lain-lain, buat waktu kerja saja. Bahagianya kalau kerja guru seperti ini.