Khamis, 14 Mei 2009

R & D: Kesediaan bersekolah

Oleh Norliza Abdullah

FPUKM bangun sistem nilai kebolehan kanak-kanak sebelum masuk Tahun Satu

GURU perlu bersedia dari segi mental dan fizikal bagi menghadapi kerenah murid pertama kali memasuki alam persekolahan kerana akan berdepan pelbagai kategori kanak-kanak, termasuk taraf sosial dan persekitaran berbeza.

Dalam usaha menyediakan guru menghadapi cabaran itu, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (FPUKM) membangun sistem penilaian secara dalam talian bagi mengenal pasti kesediaan kanak-kanak memasuki alam persekolahan formal.

Ia dilaksanakan supaya murid mendapat layanan serta perhatian wajar selaras Falsafah Pendidikan Negara yang mengutamakan ekuiti dan peluang pendidikan saksama untuk semua murid.

Projek Kajian E Science The Development of a Web Based Ecological Assessment of School Readiness (WEBEASR) itu dibangunkan sekumpulan pakar mengkaji kepelbagaian pelajar diketuai pensyarahnya, Puan Sri Prof Dr Rohaty Mohd Mazjub.

Program itu juga bertujuan memenuhi keperluan Kumpulan Penyelidikan Inovasi dalam Pedagogi FPUKM.

Laman web interaktif itu menyediakan proses penilaian dengan memberi peluang semua pihak terutama ibu bapa, guru dan pemimpin komuniti mengenal pasti tahap kesediaan kanak-kanak sebelum dihantar ke sekolah rendah.

Rohaty berkata, penilaian itu penting kerana setiap kanak-kanak memiliki tahap intelektual berbeza berdasarkan pelbagai faktor, antaranya taraf sosial keluarga dan persiapan awal di pusat bimbingan kanak kanak atau tadika.

Kajian awal mendapati 40 peratus kanak-kanak Tahun Satu tidak mempunyai pengalaman atau mendapat pendedahan awal peringkat tadika.

Lazimnya, beliau berkata, kesediaan memasuki alam persekolahan itu hanya ditumpukan kepada individu, sedangkan persekitaran sekeliling terutama keluarga dan masyarakat turut memainkan peranan dalam memastikan kanak-kanak bersedia memulakan dunia baru di sekolah.

Katanya, WEBEASR dibangunkan selepas projek asas, iaitu Inventori Kesediaan Kanak-Kanak Malaysia berdasarkan teori ekologi Urie Bronfrenbrenner dengan mengambil kira faktor persekitaran sebagai pengaruh utama perkembangan individu.

Kaedah itu mengandungi lima domain, iaitu Domain Kesediaan Kanak-Kanak, Domain Kesediaan Sekolah, Domain Kesediaan Keluarga, Domain Kesediaan Komuniti dan Domain Kesediaan Global.

“Kami melaksanakan proses penilaian ini kerana setiap keluarga dan masyarakat perlu dimaklumkan mengenai kesediaan kanak kanak memulakan alam persekolahan baru.

“Menilai kepelbagaian setiap individu penting kerana masing-masing mempunyai keupayaan berbeza. Ada kanak-kanak yang baru memasuki alam persekolahan tetapi sudah mampu menguasai tiga bahasa, selain pengetahuan global lebih meluas.

“Pada masa sama rakan sebaya mereka langsung tidak mengetahui dunia sekitar dan hanya menguasai satu bahasa yang ditutur keluarga di rumah,” katanya ketika ditemui di UKM Bangi, baru-baru ini.

Rohaty berkata, kaedah itu juga memudahkan guru menilai tahap kecekapan setiap kanak-kanak bagi memastikan mereka dapat melaksanakan proses pengajaran secara berkesan dengan mengambil kira tahap pencapaian.

Sambil menjelaskan penilaian dalam talian lebih mudah dilaksanakan dalam persekitaran masyarakat kini yang celik teknologi maklumat, beliau berkata, pengguna pula sentiasa boleh mengakses web kerana jurang digital semakin kecil berbanding sebelumnya.

Selain itu, katanya, kesediaan kanak-kanak juga membabitkan fizikal, emosi, rohani dan intelek serta kewarganegaraan.

Kebolehan itu merangkumi kesediaan kognitif serta intelektual asas kanak-kanak, antaranya mengeja nama sendiri dan mengira hingga 100.

Apabila memasuki Tahun Satu, guru tentu ingin mengetahui sama ada kanak-kanak berkenaan pernah mengikuti kelas tadika serta boleh membaca buku cerita mudah dan membuat pengiraan asas,

“Persiapan kanak-kanak ini turut mengambil kira kesediaan fizikal iaitu kesihatan mereka, melompat dan membaling bola, selain memiliki psikomoto halus dengan melakukan kerja asas seperti menggunting kertas dan memasukkan benang pada jarum.

“WEBEASR menyediakan konsep kesediaan global bagi memastikan kanak-kanak boleh hidup dalam dunia tanpa sempadan serta menyedari perkara berlaku di luar negara, menguasai lebih daripada dua bahasa dan memiliki kemahiran ICT.

“Ibu bapa, guru dan pemimpin juga digalak menilai kesediaan kanak-kanak dengan meninjau WEBEASR. Mereka boleh melayari laman web http://rohaty-school-readiness.com dan memberi cadangan membina,” katanya.

Berita Harian Online: 14 Mei 2009

1 ulasan:

anak kampung berkata...

Wahai teman2. janganlah merungut pasal perbezaan gaji tu... sudahlah... baik fikirkan bagaimana meningkatkan mutu perkhidmatan... kerajaan taklah bodoh sangat mau tindas sesuatu gred.. cuma kita terkhayal sedikit tanpa membuka mata hati dan minda mengapa ini terjadi. jangan terlalu taksub dengan segulung ijazah. saya juga ada segulung ijazah sebab sebelum ni, saya pemegang gred dg29. tapi saya tidak hairan akan perbezaan ni. cubalah jangan sambung belajar, dapat juga kawan2 merasai nikmat gaji dg32 tu.. tapi kerana kita sambung belajar, terpaksa lompat ke gred dg41 seumpama biji benih yang baru bercambah sedangkan kawan2 yang lain terus dengan sebatang pokok yang semakin meninggi dan terus meninggi. so.. kena belajarlah bersyukur apa yang ada fren....