Isnin, 9 Mac 2009

Alimuddin: Isu pendidikan biarlah diselesaikan secara pendidikan

PASIR PUTEH 8 Mac - Isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tidak perlu dipolitikkan kerana ia boleh menjejaskan pendidikan nasional, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom.

Beliau berkata, isu itu sebaiknya diserahkan kepada Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Kabinet untuk membuat keputusan.

"Hishammuddin akan membawa perkara itu ke Kabinet untuk dibincangkan secara panjang lebar sebelum memberi keputusan mengenainya," katanya.

Alimuddin ditemui pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan ibu bapa dan pelajar tingkatan 3 Sekolah Menengah Kebangsaan Tok Janggut, Mohd. Amirul Hakim Mohd. Afandi yang cedera akibat dilibas dengan lawi ayam oleh pelajar tingkatan 4 sekolah itu Wan Mohd Alias Wan Taib di sekolah berkenaan di sini hari ini.

Beliau berkata, semua pihak seharusnya bersabar kerana dasar PPSMI perlu diteliti dengan sebaik mungkin sebelum sebarang keputusan dibuat.

"Kita mesti lihat bidang pendidikan untuk anak dan cucu kita pada masa hadapan," katanya sambil menambah isu pendidikan biarlah diselesaikan secara pendidikan juga.

Alimuddin berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang percaya kekecohan yang berlaku pada perhimpunan membantah pelaksanaan PPSMI di Kuala Lumpur semalam disebabkan ada campur tangan parti politik.

Musa kesal kerana penyokong Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP) berdegil dan mengingkari arahan polis menyebabkan tindakan tegas terpaksa diambil.

Berikutan itu, polis menahan lapan lelaki manakala 119 diperiksa kerana bertindak agresif serta menyertai perhimpunan haram itu.

Sementara itu, Alimuddin berkata, kes salah laku di kalangan pelajar sekolah yang melibatkan diri dengan unsur-usur gangsterisme pada keseluruhannya masih terkawal, malah semakin menurun setiap tahun.

Beliau berkata, jumlah pelajar yang terlibat dengan permasalahan disiplin seperti memukul, bergaduh dan ponteng sekolah didapati semakin menurun iaitu daripada 2.10 peratus pada tahun 2007 kepada 2.08 pada 2008, menurun 0.02 peratus.

"Ini menunjukkan 97 peratus pelajar tidak terlibat dengan masalah disiplin," katanya. - BERNAMA

Utusan Malaysia Online: 9 Mac 2009

Tiada ulasan: