Sabtu, 14 Mac 2009

Disiplin pelajar, JPN Pahang tiada kompromi

RAUB 12 Mac - Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Pahang tidak akan berkompromi dalam menangani isu disiplin termasuk gengsterisme di kalangan pelajar di seluruh negeri.

Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff berkata, JPN bersikap telus dan tidak akan menyembunyikan sebarang isu disiplin pelajar sebaliknya menggalakkan penglibatan semua pihak dalam membanteras gejala tidak bermoral itu.

Katanya, JPN sentiasa terbuka menerima sebarang aduan berkaitan salah laku pelajar dan berusaha mencari jalan penyelesaian bagi menangani setiap kes yang dilaporkan.

''Semua sekolah di negeri ini diingatkan supaya mengambil tindakan tegas dalam menangani sebarang masalah disiplin pelajar dengan memberi penekanan terhadap program-program yang boleh meningkatkan disiplin pelajar," kata Abdul Aziz selepas mengumumkan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008 di Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah (SEMESTA) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai pendedahan Penolong Guru Kanan Sekolah Menengah Kebangsaan Hua Lian, Lim Jit Hun mengenai penglibatan para pelajar sekolah terbabit dalam kumpulan kongsi gelap kepada media semalam.

Menurut Abdul Aziz, pihak sekolah perlu melakukan pengisian program secara berterusan agar pelajar sedar bahawa tugas utama mereka adalah untuk menimba ilmu pengetahuan.

Beliau berkata, mana-mana sekolah yang dapat mengesan sebarang masalah termasuk gejala gengsterisme, perlulah mengambil tindakan tegas dengan melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa.

Katanya, isu seperti ini tidak seharusnya disembunyikan di peringkat sekolah sahaja, sebaliknya ia memerlukan campur tangan pihak polis bagi membanteras gejala tersebut daripada berleluasa.

''Semua pentadbiran sekolah diminta terus membuat laporan polis sekiranya berlaku perkara yang sama di sekolah masing-masing terutama melibatkan peras ugut seperti meminta 'wang perlindungan' pelajar.

''Kita tidak mahu berlaku lagi kes gengsterisme seperti yang disiarkan media hari ini (semalam) melibatkan seorang guru sebuah sekolah di Mentakab yang menjadi mangsa apabila cermin kenderaannya dipecahkan,'' kata Abdul Aziz.

Beliau berharap gejala negatif ini dapat diatasi segera melalui kerjasama semua pihak termasuk guru, pelajar, ibu bapa, pihak berkuasa dan masyarakat setempat.

Utusan Malaysia Online: 13 Mac 2009

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Tahniah kepada ketegasan Tuan Pengarah JPNP dan keberanian guru Pahang mengemukakan masalah disiplin pelajar terutama kegiatan kongsi gelap di sekolah !!!

Kami ibu bapa memang sayangkan guru disiplin yang TEGAS di mana tidak takut diugut walaupun cermin vannya dipecah!!!