Ahad, 15 Mac 2009

Tiga bulan sesuai periksa kertas SPM, STPM

SEBAGAI bekas pemeriksa kertas jawapan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya menyokong penuh tindakan Kementerian Pelajaran mengekalkan tempoh tiga bulan untuk memeriksa kertas jawapan calon SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Selepas beberapa kali melalui proses memeriksa kertas jawapan bahasa Inggeris SPM, saya amat bersetuju bahawa masa yang secukupnya sememang amat diperlukan dalam memastikan kualiti pemarkahan kertas jawapan calon adalah tinggi.

Amatlah tidak adil sekiranya calon menjadi mangsa kepada sikap tidak sabar sesetengah pihak untuk mengetahui keputusan peperiksaan SPM dan STPM dengan cepat.

Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada kementerian kerana bersifat tegas mengekalkan tempoh tiga bulan untuk memeriksa kertas jawapan calon SPM dan STPM. Apa yang utama ialah seperti kata Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, langkah memendekkan tempoh memeriksa dikhuatiri menjejaskan kualiti pemarkahan.

Pemarkahan kertas jawapan perlu mengikut piawaian dan kualiti ditetapkan dan jika kementerian mendesak guru pemeriksa menyegerakan kerja menanda kertas, yang akan menjadi mangsa ialah calon.

Pemeriksa perlu berada dalam keadaan kesejahteraan minda dan fizikal yang baik serta tidak berada dalam keadaan tertekan ketika memeriksa kertas jawapan calon. Minda dan manusia jika dipaksa untuk melakukan sesuatu di luar kemampuan boleh mengakibatkan perasaan risau dan bimbang. Tekanan juga boleh berlaku.

Sekiranya pemeriksa berada dalam keadaan tertekan untuk cepat memeriksa kertas jawapan calon, ia boleh menyebabkan pemarkahan tidak mengikut piawai dan kualiti ditetapkan. Unsur berat sebelah memeriksa kertas jawapan calon boleh berlaku jika pemeriksa berada dalam keadaan tidak sejahtera emosi dan fizikal mereka.

Proses memeriksa kertas jawapan calon SPM mempunyai prosedurnya tersendiri. Prosedur ini bertujuan memastikan calon tidak teraniaya dan kualiti pemeriksaan adalah tinggi, perlu ada ruang masa mencukupi.

Dalam mengeluarkan keputusan mana-mana peperiksaan besar negara, ia bukan saja membabitkan proses memeriksa kertas jawapan calon. Malah, proses lain juga perlu dilakukan. Semuanya bertujuan mempastikan calon akan dinilai seadilnya dan mengikut piawai serta kualiti ditetapkan.

Jika masa tiga bulan dipendekkan untuk memeriksa kertas jawapan calon, kemungkinan banyak prosedur yang tidak akan dapat dilaksanakan dengan baik.

Calon perlu dinilai sewajarnya dan mengikut kriteria dan prosedur yang tinggi. Calon sudah berusaha keras untuk menduduki peperiksaan SPM atau STPM. Sewajarnya penilaian dan pengukuran kepada kerja keras ini perlu dilakukan dengan seadilnya.

Memeriksa kertas jawapan calon bukanlah semudah i disangka. Ia memerlukan komitmen tinggi pemeriksa. Masa, tenaga dan pengorbanan pemeriksa diperlukan. Apatah lagi apabila masa diperuntukkan untuk memeriksa kertas jawapan calon adalah ketika cuti sekolah.

Tentu sekali pemeriksa ketika memeriksa kertas jawapan calon terpaksa mengorbankan hari cutinya bagi memastikan tugas diberikan dijalankan sebaik mungkin.

DR SAPORA SIPON,
Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)
Nilai.

Berita Harian Online: 14 Mac 2009

1 ulasan:

Unknown berkata...

Saya pelajar SPM tahun 2013. Saya tersilap skip 4 muka surat masa tulis esei bi. Bila saya tnya kat pengawas dia suruh saya cancel page depan yg saya tertinggal dengan pen. Takpa ka ? Lagipun saya tak sengaja. Adakah pemeriksa krtas bi akan check smua page dlm buku jawapan ? Ataupun dia akan check 2 atau 3 mukasurat dan kalau tak ada jawapan dia akan bgi 0 terus ke ? Saya takut sangat. Because i did really well for my english paper. Please help. Tq. Tolong emailkan saye : suhhaillah96@gmail.com . Jawapan anda amat dihargai :).