Rabu, 1 April 2009

Tiga kategori sekolah 2010


HISHAMMUDDIN Tun Hussein (kanan) beramah mesra dengan murid-murid Sekolah Kebangsaan Bukit Selambau ketika melakukan lawatan ke sekolah itu sempena kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau, Kedah, semalam. – BERNAMA


SUNGAI PETANI 31 Mac – Kerajaan akan mentakrif semula jenis-jenis sekolah kepada tiga kategori menjelang tahun 2010.

Tiga kategori tersebut ialah Sekolah Kerajaan, Sekolah Bantuan Kerajaan dan Sekolah Swasta.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tindakan itu dibuat bagi mengelakkan kekeliruan dan memudahkan kerajaan menyusun peruntukan kewangan mengikut kesesuaian pada masa akan datang.

“Saya akan membentangkan satu rangka tindakan mini kepada Kabinet tidak lama lagi berhubung penakrifan semula kategori sekolah.

“Menjelang tahun 2010, kita hanya ada tiga kategori sekolah berdasarkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) iaitu pertama, Sekolah Kerajaan yang mana ada Sekolah Kebangsaan di bawahnya.

“Yang kedua pula, Sekolah Bantuan Kerajaan yang ada empat jenis di bawahnya iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Sekolah Mubaligh dan Sekolah Agama Kerajaan.

“Bagi sekolah swasta terdiri daripada sekolah yang tidak dibantu oleh kerajaan seperti sekolah antarabangsa dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan peruntukan pakej rangsangan ekonomi sebanyak RM210,000 bagi tujuan meningkatkan kemudahan pendidikan di SJKT Ladang Sungai Getah, dekat sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Pelajaran Kedah, Shahidan Abd. Rahman, calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, Datuk S. Ganesan dan Guru Besar SJKT, G. Vimaladewi.

Kata Hishammuddin, penakrifan semula kategori sekolah itu diharap dapat memberikan gambaran yang jelas kepada rakyat.

“Sebelum ini kita lihat isu-isu SJKC, SJKT, Sekolah Mubaligh dan Sekolah Agama dieksploitasikan pihak-pihak tertentu.

“Keadaan ini berlaku kerana orang keliru dengan macam-macam jenis takrif sekolah. Malah, isu pendidikan juga disensasikan mengikut perjuangan kaum dan agama,” katanya.

Beliau berkata, eksploitasi isu pendidikan telah meninggalkan kesan negatif kerana boleh menjejaskan usaha membangunkan sektor tersebut.

“Kita merasakan semua pihak perlu berhenti memainkan isu pendidikan mengikut sentimen kaum dan agama,” katanya.

Katanya, pakej rangsangan ekonomi yang disalurkan terutama dalam sektor pendidikan menggambarkan kerajaan BN sentiasa komited untuk terus membantu sekolah pelbagai aliran.

Utusan Malaysia Online: 1 April 2009

Tiada ulasan: