Isnin, 4 Mei 2009

Timur: Usah cepat buat laporan polis anak dipukul guru

Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin
hanneeyzah@bharian.com.my

Guru berasa fobia, jejas kualiti generasi masa depan

KUALA TERENGGANU: Ibu bapa dinasihatkan tidak terlalu mudah membuat laporan polis apabila berlaku kejadian anak mereka dipukul guru di sekolah kerana ia hanya akan menjejaskan fungsi pendidik melahirkan generasi berguna serta berdisiplin pada masa depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd Rahman, berkata tindakan ibu bapa yang pantas membuat laporan polis tanpa memberi peluang pihak sekolah dan jabatan berkaitan melakukan siasatan terhadap kes berlaku akan menimbulkan rasa fobia di kalangan guru.

Beliau berkata, jika perkara itu berterusan, guru tidak lagi dapat menjalankan tugas hakikinya mendidik dan mendisiplinkan murid atau pelajar kerana fobia dengan tindakan ibu bapa yang tidak boleh menerima tindakan mereka, sekali gus menjejaskan kualiti generasi masa depan yang bakal menjadi pemimpin pelapis.

"Saya seru ibu bapa pelajar supaya maklumkan dulu kes seperti ini kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pihak sekolah supaya kita boleh bincang dan ambil tindakan sewajarnya jika benar siasatan mendapati ada guru yang menganiaya pelajar.

"Janganlah terlalu mudah hendak lapor pada polis dan hebahkan di media kerana perkara ini boleh dibawa berbincang bersama. Kadang kala ibu bapa lupa tindakan tegas diambil guru adalah untuk mendidik dan mendisiplinkan pelajar. Jika ada berlaku kes guru yang melampaui batas dalam tugas hakiki mereka, kita boleh siasat dan ambil tindakan.

"Saya bimbang trend ibu bapa yang mudah membuat laporan polis ini akan menyebabkan guru fobia dan tidak lagi mengambil berat hal ehwal dan disiplin pelajar pada masa depan. Ini akan merugikan masa depan murid dan pelajar itu sendiri," katanya selepas merasmikan Kursus Pra-Perkahwinan di sini, kelmarin.

Beliau diminta mengulas laporan akhbar semalam mengenai kes seorang daripada tiga pelajar sebuah sekolah menengah di Chendering di sini pitam dan pening kepala selepas mendakwa dipukul di kepala dan leher oleh seorang guru lelaki yang menyangka mereka tidak memberi perhatian dalam kelas dan menyiapkan tugasan diberi.

Pelajar terbabit, Nur Syakira Roslan Afendi mengadu pening kepada dan pitam sebelum dibawa pulang ke rumah oleh ibunya, manakala dua lagi rakannya, Noorsyafina Sulong dan Zurnie Anissa Setapa tidak mengalami sebarang kecederaan.

Bapa Nur Syakira, Roslan Afendi Aziz, 38, yang tidak berpuas hati dengan tindakan guru mengajar subjek Sejarah itu kemudian membuat laporan di Balai Polis Chendering sebelum membawa anaknya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk menerima rawatan.

Ahmad Razif berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung kes itu, bagaimanapun sudah mengarahkan pegawai Jabatan Pelajaran Negeri menyediakan laporan lengkap sebelum memulakan siasatan.

Berita Harian Online: 4 Mei 2009

Tiada ulasan: