KUALA LUMPUR 4 Mei - Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan kajian mengenai dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dilanjutkan kerana beliau tidak berpuas hati dengan hasil kajian yang telah dibuat.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran memberitahu, kementeriannya bersedia untuk 'menunggu lebih lama' bagi memastikan keputusan yang akan dibuat tidak flip flop.
''Hasil kajian itu hanya akan dibentangkan ke Kabinet apabila saya telah berpuas hati, sama ada ia telah dijalankan dengan mendalam mengenai kesan dan adakah ia boleh ditambah baik.
''Adakah perlu berlaku perubahan dasar dan apabila ia sudah lengkap dari semua sudut ia akan dibentangkan ke Kabinet, sekarang ini ia belum selesai,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja pertama ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini hari ini.
Beliau menambah, terdapat keperluan untuk melanjutkan kajian PPSMI itu memandangkan terdapat hasil kajian yang dijalankan oleh penyelidik pertubuhan bebas berlainan dengan hasil yang dikumpulkan dalam sesi meja bulat.
Katanya lagi, maklumat yang dikumpulkan dalam sesi meja bulat yang dibuat oleh kementerian adalah berdasarkan kepada perasaan individu terlibat, tetapi apa dibuat oleh penyelidikan bebas ini berdasarkan bukti.
''Apabila saya telah berpuas hati dengan kajian, saya akan buat kenyataan terperinci mengenai PPSMI,'' katanya.
Utusan Malaysia Online: 5 Mei 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan