Ahad, 1 Mac 2009

Sekolah di JB prihatin terhadap Gaza


Fuziah Hassan (kiri) menyerahkan replika cek kepada Maznah Mohd. Arsad untuk tabung Dakap sambil diperhatikan Aminuddin Adam (tiga dari kiri) di Sekolah Menengah Kebangsaan Tasek Utara, Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU 27 Feb. - Penderitaan penduduk Gaza akibat diserang tentera Israel terus mendapat simpati di kalangan masyarakat negara ini.

Sehubungan itu, warga 91 sekolah rendah dan 44 sekolah menengah sekitar Johor Bahru tampil untuk mengurangkan beban kesengsaraan itu dengan menghulurkan sumbangan bernilai RM15,500 kepada Tabung Dana Kemanusiaan Palestin (Dakap).

Majlis penyampaian sumbangan itu diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Utara, di sini baru-baru ini oleh Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Uda Dua, Fuziah Hassan kepada wartawan Utusan Malaysia, Maznah Mohd. Arsad.

Turut menyaksikan penyampaian sumbangan itu, Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Johor Bahru, Aminuddin Adam dan Pengetua SMK Tasek Utara, Zainab Ali.

Penyelaras projek kutipan dana itu, Ahmad Taufik Hamzah berkata, sumbangan itu dilancarkan mulai 26 Januari lalu dan ia adalah hasil kutipan daripada 91 sekolah rendah dan 44 sekolah menengah di dalam daerah ini.

Terdahulu, Aminuddin berkata, apa yang berlaku di Gaza haruslah dijadikan iktibar kepada para pelajar dengan menuntut ilmu seberapa banyak yang boleh bagi mencapai kecemerlangan.

Justeru, beliau menyeru agar para pelajar menjadikan kualiti dalam pelajaran sebagai sasaran bagi melahirkan modal insan terbaik untuk membantu umat Islam pada masa depan.

"Apa yang berlaku di Gaza harus menyedarkan kita bahawa, sebagai insan harus bersyukur dengan nikmat Allah mengurniakan keamanan yang membolehkan kita belajar dalam suasana selesa," katanya.

Utusan Malaysia Online: 28 Februari 2009

Tiada ulasan: