Selasa, 27 April 2010

Cikgu songsang

Oleh Alias Abd Rani

2010/04/27

KUCHING: Pengakuan tiga daripada 12 pelajar tingkatan tiga dipercayai terbabit mengambil pil nospan dan ganja, membuka rahsia pengedaran dadah itu didakwa dilakukan guru berusia 26 tahun dan isterinya.

Segalanya terbongkar apabila pelajar sekolah menengah di Pusa dalam bahagian Betong itu dipanggil mengadap pengetua kerana masalah disipilin dan tiga daripadanya mengakui pernah mengambil pil nospan yang dibeli daripada seorang guru.


Susulan itu, gerakan mengesan guru yang menjadi dalang pengedaran itu dilakukan dan suspek ditahan ketika mendapatkan bekalan di bandar raya Kuching, jam 3.30 petang kelmarin.


Ketua Polis daerah Betong, Deputi Superintendan, Bukhori Saffai berkata, pelajar terbabit mengakui perkara itu ketika Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) membuat pemeriksaan mengejut di sekolah berkenaan.


“Modus operandinya menjadikan hujung minggu untuk mendapat bekalan. “Biasanya ada kelas tuisyen di sekolah pada hujung minggu dan kesempatan itu diambil pelajar untuk mendapatkan bekalan. Pelajar berkenaan kini digantung sekolah seminggu.


“Kami belum mendapat maklumat mengenai harga dadah itu kerana siasatan masih berjalan. Biasanya, ia dijual dalam kuantiti kecil kerana populariti pil itu masih rendah,” katanya.


Guru dari Kedah dan mempunyai anak berusia setahun lapan bulan itu ditahan bersama isterinya, kelmarin dan direman empat hari bermula semalam.


Serbuan dilakukan Cawangan Narkotik dari Ibu Pejabat Polis daerah Betong jam 3.30 petang selepas intipan empat jam dan menemui kotak berisi daun kering mampat dipercayai 10 gram ganja yang dibungkus dengan plastik lutsinar di bahagian depan kereta.


Turut ditemui botol putih berlabel dextromethorphan mengandungi 1,482 pil nospan disembunyikan di tempat letak kaki bahagian belakang kenderaan suspek.

Pasangan itu akan didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki ganja serta Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 kerana memiliki pil nospan.


Sementara itu, Pengarah Pelajaran Sarawak, Dr Julaihi Bujang ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada pegawai pelajaran daerah itu.


“Jabatan belum memutuskan mengenai kedudukan guru itu selagi kes tidak dibawa ke mahkamah,” katanya.

myMetro: 27 April 2010

Tiada ulasan: