Rabu, 7 April 2010

Malaysia latih guru negara membangun


Muhyiddin Yassin (dua kiri) dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman (dua kanan) disambut oleh penjawat awam di Paris ketika hadir pada Majlis Makan Malam Bersama Ketua-Ketua Agensi di Restoran Tamarind di Paris, semalam. - BERNAMA


PARIS 6 April - Malaysia menawarkan kepakaran latihan perguruan kepada negara-negara membangun bagi membantu mereka mencapai sasaran Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi mencapai dasar Pendidikan Untuk Semua (EFA) pada 2015.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, komitmen Malaysia itu akan beliau sampaikan semasa berucap selama lapan minit pada hari kedua Sesi Ke-184 Mesyuarat Lembaga Eksekutif UNESCO di sini esok.

Katanya, program latihan perguruan untuk negara-negara kurang membangun itu akan menggunakan peruntukan AS$5 juta (RM17.5 juta) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Persidangan Agung UNESCO Ke-35, September tahun lalu.

''Secara keseluruhannya, Malaysia lebih berjaya dalam mencapai EFA. Kita akan berkongsi pengalaman dalam mesyuarat ini bagaimana untuk mengambil langkah bersama-bersama dengan semua negara anggota UNESCO bagi mencapai sasaran dasar EFA pada 2015.

''Malaysia ada sedikit kemudahan (latihan perguruan), jadi kalau ada negara yang memerlukan bantuan dalam latihan-latihan khususnya dalam perguruan, kita sedia membantu dan berkongsi pengalaman supaya mereka boleh menyediakan peluang ini dan sasaran EFA dicapai di negara-negara yang agak mundur,'' katanya.

Beliau bercakap kepada wartawan Malaysia sebelum menghadiri hari pertama Sesi Ke-184 Mesyuarat Lembaga Eksekutif UNESCO di sini hari ini.

Ia adalah kali pertama Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menghadiri mesyuarat lembaga tersebut. Pada hari kedua mesyuarat esok, beliau akan menyampaikan ucapan sebagai pembahas pertama.

Muhyiddin memberitahu, beliau akan membincangkan secara terperinci pengagihan peruntukan AS$5 juta daripada Malaysia kepada UNESCO itu dalam pertemuannya dengan Ketua Pengarah UNESCO, Irina Bokova di ibu pejabat pertubuhan tersebut esok.

''Kita akan bincang bidang-bidang kerjasama yang boleh ditawarkan Malaysia menggunakan peruntukan tersebut," katanya.

Timbalan Perdana Menteri menambah, beliau yakin perbincangan dalam mesyuarat lembaga eksekutif tersebut kali ini masih tertumpu kepada dasar EFA dan perkembangan pencapaian dasar itu di setiap negara anggota.

Menurutnya, walaupun UNESCO menetapkan sasaran supaya semua negara anggota menyediakan peluang pendidikan dan pembelajaran serta infrastruktur berkaitan kepada semua penduduk pada 2015, malangnya hanya beberapa negara anggota yang telah memenuhinya manakala sebahagian besar tidak mampu mencapainya.

''Ini kerana masalah keupayaan negara-negara tersebut dalam meneruskan program-program pendidikan disebabkan kegawatan ekonomi dunia yang menjejaskan negara-negara membangun dan itu menjadi masalah besar kepada negara terlibat," katanya.

Bagi Malaysia, jelas Muhyiddin, negara kini berada di landasan yang betul untuk mencapai EFA pada 2015 dengan tahap pendidikan rakyat di peringkat membanggakan manakala kerajaan pula menyediakan peruntukan sebesar 25 peratus belanjawan tahunan untuk memajukan bidang tersebut.

"Di Malaysia, kita agak beruntung. Kecuali di beberapa tempat sahaja, kerajaan telah pun menyediakan peluang pembelajaran kepada anak-anak kita di seluruh negara.

"Kita yakin dapat mencapai sasaran EFA pada 2015 kerana sehingga kini bagi setiap warganegara Malaysia, tiada sekatan untuk mereka mendapat pendidikan, kita sediakan sekolah-sekolah di mana saja mereka berada di seluruh negara sampai ke kawasan pedalaman.

"Rakyat tidak menghadapi langsung masalah untuk mendapat peluang pelajaran bermula daripada peringkat pendidikan asas di prasekolah pada usia enam tahun, itu tiada masalah," katanya.

Bagaimanapun, tambah Muhyiddin, kerajaan sedang memberi sedikit tumpuan di beberapa negeri terutama di Sabah bagi penyediaan peluang pendidikan kepada anak-anak pendatang yang belum dipastikan statusnya dan ia tidak melibatkan jumlah yang besar.

"Dalam dasar EFA, kita sepatutnya menyediakan peluang pelajaran kepada anak-anak pendatang ini. Kita sudah mengambil langkah-langkah ke arah itu, tetapi kita mahu melihat secara lebih dekat masalah ini dan inisiatif berkaitan sudah pun bermula di Sabah," ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, Malaysia juga akan berkongsi pengalaman dengan negara-negara lain menerusi UNESCO dalam bidang pendidikan Islam moden yang turut mengandungi pendidikan arus perdana.

Menurutnya, draf usul mengenainya sudah dipersetujui di peringkat pegawai dan dijangka dibincangkan dalam mesyuarat lembaga eksekutif kali ini.

Tambahnya, langkah Kerajaan Persekutuan menawarkan kepada kerajaan-kerajaan negeri, swasta dan persendirian untuk mengambil alih sekolah-sekolah agama di Malaysia terbukti mampu meningkatkan kualiti pendidikan yang ditawarkan dan tidak terlalu tertumpu kepada pelajaran agama semata-mata.

Utusan Malaysia Online: 7 April 2010

Tiada ulasan: