2010/04/07
SEREMBAN: Kolej Tunku Kurshiah (KTK) terus menempa nama mendapat tempat kedua di negeri ini dan antara 10 terbaik di seluruh negara dalam pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.Pencapaian Penilaian Menengah Rendah (PMR) pula, KTK tempat pertama di kalangan sekolah berasrama penuh (SBP) seluruh negara dan tempat pertama di negeri ini.
Pengetua Cemerlang KTK, Che Kamaliah Endud, berkata kerjasama aktif dan muafakat di kalangan guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta alumni adalah antara punca kejayaan sekolah itu.
"Kami sentiasa mengamalkan kerjasama tiga elemen itu untuk melahirkan pelajar yang cemerlang. Sokongan semua pihak amat penting kerana tanpa kerjasama satu pihak, sekolah tidak dapat melaksanakan apa dirancang. Begitu juga ibu bapa dan pelajar.
"Dalam keputusan SPM tahun lalu, KTK mendapat gred purata 1.47, manakala pada SPM tahun sebelum itu, gred purata adalah 1.93. Empat pelajar mendapat semua A+ dan 36 pelajar mendapat semua A," katanya pada majlis Anugerah Cemerlang dan mesyuarat agung PIBG KTK, di sini.
Kira-kira 200 pelajar cemerlang menerima anugerah kecemerlangan termasuk pelajar cemerlang PMR dan SPM tahun lalu serta pelajar cemerlang tingkatan.
Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan. Turut hadir, Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Abdullah Mohammad dan Pengerusi Persatuan Murid Tua, Malay Girl College (MGC)/KTK, Puan Sri Fauza Darus.
Berita Harian Online: 7 April 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan