Rabu, 28 April 2010

Pensiswazahan guru

Oleh Ismail Supandi

2010/04/28

26 pegawai pelajaran dapat ilmu, tingkat kemahiran

SERAMAI 26 guru besar dan pegawai Jabatan Pelajaran Negeri dan Kementerian Pelajaran menerima ijazah Program Khas Pensiswazahan Guru Besar (PKPGB) di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, dalam satu majlis, baru-baru ini.

Program tiga tahun anjuran Institut Aminuddin Baki dengan kerjasama UKM itu, adalah usaha kementerian menaik taraf kualiti pendidik dan juga pegawai yang sedang berkhidmat dalam usaha meningkatkan profesion perguruan negara.

Pengarah Institut Aminuddin Baki, Datuk Abdul Ghafar Mahmud, berkata pihaknya yakin guru yang baru tamat pengajian sudah tentu dapat memberikan perkhidmatan terbaik di tempat masing-masing.

Usaha ini katanya selaras dengan hasrat kementerian menjadikan pendidikan sebagai wadah dalam memenuhi aspirasi negara melahirkan generasi muda berilmu dan berakhlak mulia.

“Program tiga tahun itu memberi peluang peserta mendalami ilmu dan pengetahuan yang diharap dapat meningkatkan profesionalisme mereka sebagai pendidik berdedikasi,” katanya dalam satu majlis baru-baru ini.

Sementara itu, Guru Besar dari Sarawak, Idahap @ Mashor Busrah, 47, berkata program pengajian tiga tahun yang diikuti amat bermakna baginya sebagai pendidik.
“Walaupun terpaksa berulang alik dari Sarawak ke UKM, Bangi namun ia tidak menghalang hasrat saya untuk mendalami ilmu pengetahuan dan menamatkan pengajian.

“Berbekalkan kesungguhan, keazaman serta kecekalan, saya gigih belajar kerana ilmu yang diperoleh itu dapat dikongsi bersama guru dan murid dalam meningkatkan kualiti pendidikan negara,” katanya.

S Kannan, 46, dari Negeri Sembilan berkata, langkah kementerian kerana memberi peluang kepadanya melanjutkan pelajaran ke menara gading sangat dihargai.

Pengorbanan tiga tahun katanya, tidak sia-sia kerana banyak ilmu dan pengalaman baru diperoleh dan ia dapat membantunya meningkatkan kualiti pengajaran dan pengurusan di sekolah.

Berita Harian Online: 28 April 2010

Tiada ulasan: