Isnin, 26 April 2010

SK Wakaf perkenal 'ala rekrut'


HUSAIN Bustari Awang Lah (tengah) melihat guru displin, Abdullah Ibrahim (kiri) menggunting rambut Waie Irsyad Rosdi sementara Guru Penolong Kanan 1, Abdul Hamid Ismail pula menggunting rambut Amirul Amin Aziz pada Program Mendisplinkan Pelajar Berambut Pendek di Sekolah Kebangsaan Wakaf Bharu, Tumpat, semalam. - BERNAMA


TUMPAT 25 April - Sekolah Kebangsaan Wakaf Bharu dekat sini melaksanakan program mendisiplinkan pelajar dengan mewajibkan semua murid lelaki berambut pendek dengan gaya potongan ala rekrut.

Guru Besar sekolah itu, Husain Bustari Awang Lah berkata, program itu bertujuan memberi identiti sekolah menerusi gaya potongan rambut pendek yang kelihatan lebih kemas.

Ia juga bagi membolehkan murid kelihatan bergaya dan menjimatkan perbelanjaan ibu bapa untuk menggunting rambut anak setiap bulan.

"Inilah kali pertama sekolah kami mengadakan program disiplin ini yang bertemakan "guru cakna murid ceria"," katanya selepas perhimpunan mingguan di sekolah itu hari ini.

Sebagai gimik kepada pelancaran itu, Husain Bustari bersama guru disiplin sekolah itu, Abdullah Yusoff, dan Penolong Kanan I sekolah itu, Abdul Hamid Ismail, memotong rambut sebahagian pelajar terbabit.

Keputusan untuk menggunting rambut pelajar dengan potongan ala rekrut itu dipersetujui oleh ibu bapa semasa mesyuarat agung Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, 13 Mac lepas, kata Husain.

Program mendisiplinkan pelajar berambut pendek itu melibatkan 450 murid lelaki, daripada sejumlah lebih 900 murid sekolah itu.

"Langkah itu juga boleh mengelakkan murid-murid terikut-ikut dengan trend rambut yang pelbagai bentuk atau diwarnakan, selain meletakkan murid sekolah ini beridentiti tersendiri," katanya. - BERNAMA

Utusan Malaysia Online: 26 April 2010

Tiada ulasan: