Sabtu, 10 April 2010

Kementerian jaga kebajikan sekolah di pedalaman Sarawak

2010/04/10

KEMENTERIAN Pelajaran ingin merujuk surat pembaca ‘Mualim, Sarawak’ yang disiarkan ruangan ini pada 5 April lalu bertajuk ‘Kebajikan sekolah pedalaman Sarawak dipinggirkan’. Petikannya menyatakan; ‘peralatan seperti komputer dan projector LCD tidak diselenggara dengan baik. Penyelenggara datang pula hanya untuk menyapu habuk.’

Unit Perkhidmatan ICT, Bahagian Teknologi Pendidikan (BTPN) Sarawak bersama rangkaian PTPB dan Pusat Kegiatan Guru (PKG) dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) sudah memberi perkhidmatan penyelenggaraan ICT di 306 sekolah pedalaman dengan kos RM840,245.68 pada 2009, tidak termasuk sekolah di bandar Kuching, Miri dan Sibu. (Lihat grafik).

PKG Sarawak juga membimbing semua sekolah melalui bengkel, mesyuarat dan taklimat di PKG/PTPB merangkumi sekolah pedalaman mengenai pengurusan seperti The Smart School Qualification Standards (SSQS) pada 2009.

Untuk makluman, sehingga kini jumlah pusat akses di seluruh negara ialah 3,025 yang siap dibuat pemasangan pada akhir 2007.

Bagi Sarawak saja, membabitkan 428 sekolah (14.15 peratus), 288 sekolah rendah dan 144 sekolah menengah.

Sekolah terbabit juga memenuhi satu daripada asas pembinaan pusat akses iaitu 70 peratus luar bandar dan 30 peratus bandar. Jumlah keseluruhan peruntukan digunakan ialah RM150 juta.

Unit Pengurusan Sumber Pendidikan (PSP) sudah menjalankan Program Nilam.
Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Sarawak Khususnya sudah memberi khidmat nasihat dan khidmat bantu mengenai pengurusan PSS dan Program Nilam. Calon dari sekolah luar bandar dan pedalaman pernah menjadi johan pada Anugerah Nilam Peringkat Kebangsaan.

Sementara itu, 100 sekolah luar bandar dan pedalaman diberi bantuan bahan bacaan tambahan (BBT) berjumlah RM150,000 setiap tahun di bawah Program Kerjasama Yayasan dan Jabatan Pelajaran Sarawak sejak 2001.

Selain itu, 40 sekolah di kawasan luar bandar dan pedalaman menerima BBT dan bahan sokongan yang bernilai RM2, 500 setiap satu di bawah Program Kerjasama kementerian dengan Osaka Gas Foundation of International Cultural Exchange sejak 2004.

Sementara itu, 20 sekolah di luar bandar dan pedalaman menerima BBT dan bahan sokongan RM2,500 setiap satu di bawah Program Kerjasama kementerian/Unicef mulai 2006.

Mengenai dakwaan Mualim, Sarawak, antara skop kerja perkhidmatan penyenggaraan adalah menyapu atau membuang debu dan habuk pada komputer (memastikan peralatan berfungsi), kami ingin menegaskan kementerian tidak meminggirkan atau memilih kasih kepada sekolah tertentu.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Kementerian Pelajaran Putrajaya

Berita Harian Online: 10 April 2010

Tiada ulasan: