Jumaat, 30 April 2010

SIP: Pendidikan berkualiti tanpa kompromi

PETALING JAYA 29 April - Guru besar atau pengetua boleh mengambil inisiatif melaksanakan program bimbingan khusus kepada mana-mana guru sekiranya kaedah pengajaran mereka kurang berkesan untuk meningkatkan prestasi pelajar.

Pendekatan itu merupakan sebahagian daripada Program Pembangunan Prestasi Sekolah (SIP) yang bermatlamat untuk memperluaskan akses kepada pendidikan yang bermutu dan berkemampuan secara konsisten.

Program Pembangunan Prestasi Sekolah yang dilancarkan hari ini oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kompleks Sekolah Wawasan USJ 15, Subang Jaya merupakan salah satu inisiatif di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi sektor pendidikan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, program itu mempunyai tiga komponen utama iaitu pertama, membabitkan penarafan tahap pencapaian sekolah berdasarkan Skor Komposit Sekolah.

Menurut beliau, melalui mekanisme itu setiap sekolah akan mengetahui kedudukan masing-masing dari segi prestasi akademik murid dan kualiti pengurusan sekolah secara keseluruhan.

"Dengan adanya maklumat ini, pihak sekolah akan dapat menentukan garis mula proses peningkatan prestasi sekolah dan menetapkan sasaran yang realistik.

"Komponen kedua pula, setiap sekolah akan dibekalkan dengan tool kit pembangunan prestasi sekolah, iaitu instrumen penilaian kendiri secara talian terus yang akan membantu sekolah menilai prestasi semasa.

"Melaluinya, pihak sekolah mampu mengenal pasti bidang-bidang yang perlu ditambah baik dan menyediakan pelan penambahbaikan secara terarah," katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalannya, Datuk Dr. Wee Ka Siong.

Hadir sama Ketua Setiausaha kementerian, Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom.

Tambah Muhyiddin, penilaian pencapaian sekolah secara kendiri bermaksud guru besar atau pengetua dapat mengesan kelemahan murid dalam mata pelajaran tertentu.

Justeru, langkah seterusnya, kata beliau, mengenal pasti punca kelemahan tersebut dan merancang tindakan susulan bagi mengatasinya.

"Jika kelemahan itu berpunca daripada kaedah pengajaran kurang berkesan, maka guru besar atau pengetua boleh mengambil inisiatif melaksanakan program bimbingan untuk guru-guru mata pelajaran berkenaan dan memantau perkembangannya dari masa ke semasa," katanya.

Komponen ketiga, kata Muhyiddin, dikenali sebagai service line iaitu program sokongan di mana kementerian akan memberi bantuan tambahan kepada sekolah-sekolah yang paling memerlukannya terutama sekolah berprestasi rendah.

Katanya, maklumat keperluan sekolah itu dapat dikenal pasti melalui aplikasi tool kit yang diberikan.

Bantuan itu katanya, seperti menyediakan bimbingan kepada pengurusan sekolah, melaksanakan program pembinaan keupayaan guru dan membekalkan alat bantuan mengajar tambahan mengikut keperluan.

"Keunikan program ini ialah pihak sekolah tidak akan dibiarkan bersendirian dalam usaha untuk melonjakkan prestasi dan mengatasi kelemahan masing-masing," katanya.

Jelas Muhyiddin, SIP tidak bermaksud menggantikan sebarang bentuk program pembangunan prestasi sekolah sedia ada, tetapi ia berfungsi sebagai pelengkap kepada usaha-usaha murni yang sedang dilaksanakan.

"Saya berharap SIP akan merapatkan jurang pencapaian antara sekolah terutama bandar dan luar bandar,'' katanya.

Utusan Malaysia Online: 30 April 2010

Tiada ulasan: