Rabu, 7 April 2010

Perlis kurang guru sekolah menengah

KANGAR 6 April - Perlis masih berdepan dengan masalah kekurangan guru bagi beberapa mata pelajaran utama di peringkat sekolah menengah tetapi keadaan itu tidak membimbangkan.

Antara mata pelajaran itu ialah Geografi, Matematik Tambahan, Bahasa Inggeris, Perdagangan, Malaysian University English Test (MUET) dan mata pelajaran Kemahiran Hidup yang meliputi Ekonomi Rumah Tangga, Sains Pertanian, Perdagangan dan Keusahawanan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu berkata, masalah itu bagaimanapun tidak melibatkan sekolah rendah kerana ia masih memenuhi permintaan.

"Bilangan guru sekolah rendah buat masa ini mencukupi. Bagaimanapun, sekolah menengah di Perlis masih mengalami masalah kekurangan guru iaitu sebanyak 149 orang.

"Pengambilan Guru Sandaran Tidak Terlatih masih diteruskan untuk menampung bilangan guru yang tidak mencukupi peringkat sekolah menengah," ujarnya ketika menjawab soalan lisan Mat Hassan (BN- Kuala Perlis) pada sidang Dewan Undangan Negeri Perlis di sini hari ini.

Menyentuh jumlah guru yang diambil tindakan tatatertib sejak tiga tahun lalu pula, Md. Isa menyatakan, jumlahnya terlalu kecil iaitu cuma lima orang.

Katanya, kelima-lima guru yang melakukan kesalahan tatatertib itu cuma direkodkan pada tahun 2009 berbanding tiada kes sepanjang 2008 dan 2007.

"Tindakan tatatertib terhadap lima guru itu meliputi pelbagai kesalahan antaranya tidak hadir bertugas, kecurangan akademik iaitu melanggar peraturan peperiksaan ketika guru berkenaan sedang melanjutkan pelajaran.

"Terdapat juga satu kes yang melibatkan kesalahan mencabul kehormatan pelajar. Mereka terlibat telah dikenakan tindakan tatatertib manakala bagi kesalahan mencabul kehormatan pelajar, guru terbabit telah ditamatkan perkhidmatannya," jelasnya.

Utusan Malaysia Online: 7 April 2010

Tiada ulasan: