Sabtu, 24 April 2010

Aktiviti gotong-royong 15 Mei ganggu sambutan Hari Guru

2010/04/24

APABILA disebut Hari Guru, semua orang akan teringat akan tarikhnya iaitu pada 16 Mei setiap tahun. Seperti juga apabila kita meraikan sesuatu majlis keraian, kita perlu membuat persediaan awal sehari sebelum perayaan.

Itu sudah menjadi kebiasaan yang diamalkan selama ini. Bagaimanapun, perayaan Hari Guru tahun ini sedikit ‘diganggu’ oleh aktiviti bergotong-royong di sekolah di seluruh negara yang akan diadakan pada 15 Mei nanti.

Persoalannya, mengapakah pihak Kementerian Pelajaran mahu menetapkan tarikh bergotong-royong pada 15 Mei dan kenapakah bukan sebelum 15 Mei atau selepas kita meraikan perayaan Hari Guru? Ini memandangkan perayaan Hari Guru amat bermakna bagi seluruh warga pendidik di Malaysia. Tidakkah aktiviti gotong-royong ini akan menjejaskan perasaan mereka kerana sehari selepas itu, adalah Hari Guru, hari mereka yang sangat bermakna?

Kalaulah kita menghargai jasa dan pengorbanan guru, nescaya kita tidak akan menetapkan tarikh gotong-royong sehari sebelum perayaan Hari Guru. Ia akan memberi kesan terhadap perasaan semua warga pendidik bahawa kita seakan-akan mengambil tindakan untuk ‘mendera’ mereka dengan mengadakan kerja gotong-royong dulu baru kita hendak meraikan Hari Guru.

TSAI JIN,
Padawan, Sarawak

Berita Harian Online: 24 April 2010

Tiada ulasan: