Isnin, 12 April 2010

SMTTJ didik pelajar membudaya reka cipta


PROGRAM pengaturcaraan robot humanoid oleh pelajar SMTTJ.


DIPILIH sebagai sekolah kluster dengan tumpuan kebitaraan dalam bidang reka cipta dan inovasi tentu sahaja memberi cabaran yang cukup besar buat guru-guru dan para pelajar Sekolah Menengah Teknik Tuanku Jaafar (SMTTJ), Seremban, Negeri Sembilan.

Bersesuaian dengan slogannya, Teknologi Asas Kemajuan, strategi dan perancangan teliti telah dilaksanakan oleh pihak SMTTJ bagi mencapai matlamat melahirkan lebih ramai pelajar berkemahiran tinggi dalam bidang tersebut.

Antara yang diberi keutamaan adalah dari sudut peningkatan prestasi pendidikan dan sahsiah pelajar, silibus akademik, kurikulum serta ko-kurikulum.

Menurut Pengetua SMTTJ, Arshad Md. Yusof, pihaknya telah merancang pelbagai aktiviti untuk membantu para pelajar meningkatkan pengetahuan mengenai ilmu reka cipta.

''Pendedahan ini bertujuan memberi peluang kepada mereka meneroka bidang inovasi menerusi aktiviti seperti pertandingan, ceramah, kursus selain menubuhkan Kelab Reka Cipta dan Inovasi sekolah.

''Di samping itu, kita turut mengadakan kolaborasi dengan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan juga pihak industri yang dikenali sebagi rakan inovasi,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian Bengkel MEGA Ke Arah Rakan Inovasi Peringkat Kebangsaan 2010 siri II di Seremban baru-baru ini.

Sementara itu, Guru Penyelaras Kebitaraan Reka Cipta dan Inovasi SMTTJ, Nor Affendi Yusoff pula memberitahu, pembangunan inovasi sekolah berkenaan dibahagikan kepada dua fasa iaitu rekaan solar dan asas robotik.

''Banyak produk asas menggunakan sistem solar telah dicipta dan diaplikasi di sekitar kawasan sekolah.

''Ia termasuk pagar penghadang pintar dengan kuasa solar, kereta solar dan juga taman Suria di mana kincir mekanikalnya turut disokong oleh tenaga suria,'' jelasnya yang juga guru bagi subjek Pengajian Kejuruteraan Elektrik.

Untuk fasa pembangunan robotik, para pelajar sekolah itu telah berjaya membangunkan projek robot Humanoid menerusi kerjasama dengan Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan.

Walaupun komponen robot diterima dari Korea Selatan, namun program pengaturcaraannya dicipta sendiri oleh para pelajar menerusi perisian IRONCAD yang disumbangkan oleh sebuah syarikat teknologi maklumat (IT) tempatan, Intellifix Sdn. Bhd.

''Untuk tujuan latihan dan kursus kepada pelajar serta guru, kita ada bekerjasama dengan syarikat Zull Design Autotronic (ZDA) bermula 2008.

''Bagi khidmat nasihat pembangunan teknologi solar pula, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah banyak menyumbangkan bantuan.

''Kita juga ada menerima sokongan daripada syarikat Jobs for Robotic (JFR) bagi membangunkan produk pendidikan sains secara teknikal,'' katanya.

Melihat kepada pengurusan kelab pula, beliau bersama tiga orang guru penyelaras yang lain bertanggungjawab menjalankan aktiviti secara berkala.

Perjumpaan ahli kelab untuk aktiviti perbincangan dan pelaksanaan projek inovasi biasanya diadakan setiap hari Rabu dan juga Sabtu.

''Apa yang membanggakan, para pelajar mudah faham dengan apa yang dipelajari dan menunjukkan minat mendalam terhadap bidang kreatif ini serta yakin dengan apa yang mereka lakukan.

''Bagi yang tertinggal sesi pembelajaran kerana menghadiri perjumpaan kelab, pihak sekolah ada menyediakan kelas tambahan khas untuk mereka secara percuma.

''Ia bertujuan memastikan mereka tidak ketinggalan dalam pelajaran dan masih boleh memperolehi keputusan cemerlang walaupun bergiat aktif dalam aktiviti kelab,'' jelasnya.

Dari segi peruntukan kelengkapan dan kos pembangunan projek, SMTTJ telah menerima pembiayaan daripada Kementerian Pelajaran menerusi Bahagian Sekolah Kluster dan Asrama Penuh.

Sekolah berkenaan juga telah beberapa kali memenangi pertandingan kreativiti dan inovasi di peringkat daerah, zon serta negeri.

Untuk setiap produk yang dihasilkan, pelajar akan menerima sijil pencapaian khas sebagai penggalak kepada mereka untuk terus mencipta inovasi.

Pada masa akan datang, SMTTJ bercadang menghasilkan lebih banyak produk inovasi seperti bot solar dan juga cenderahati berasaskan solar.

Utusan Malaysia Online: 12 April 2010

Tiada ulasan: