Khamis, 29 April 2010

Kaji semula syarat layak pemilihan guru lelaki

2010/04/29

SAYA ingin mengulas keluhan saudara Amin dari Setiu, Terengganu yang disiarkan ruangan ini kelmarin, mengenai kegagalan anak lelakinya ditemuduga bagi kemasukan ke Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).

Peratus secara rawak menunjukkan bahawa nisbah antara guru lelaki dan perempuan ternyata tidak seimbang dengan kaum hawa mendominasi lebih 50 peratus daripada jumlah guru di Malaysia. Perkara ini bukanlah sesuatu yang baru kerana sejak Penyata Razak 1956 dan Penyata Rahman Talib 1960, isu gender sudah dipertikaikan tetapi barangkali tidak ada langkah efisen yang mahu diambil pihak berwajib.

Saya tidak bermaksud mahu menyebelahi mana-mana pihak, tetapi saya percaya dengan kebejatan sosial dan masalah disiplin pelajar sekolah yang kian mencabar institusi pendidikan negara pada hari ini, pertimbangan dari aspek gender perlu diberikan sedikit perhatian.

Barangkali sudah tiba masanya pihak berwajib mempertimbangkan kuota bagi kemasukan guru lelaki ke IPGM atau mengikuti kursus pendidikan di IPTA. Perkara ini demi menyeimbangkan nisbah guru lelaki dan wanita pada masa akan datang.

Kudrat lelaki sememangnya diperlukan bagi mengawal tingkah laku pelajar yang semakin membimbangkan pada hari ini, lalu tidak ada jalan lain yang lebih baik selain menambah bilangan guru lelaki.

Untuk permulaan saya menggesa agar syarat kemasukan bagi guru lelaki dikaji semula secara telus dan adil.

Perkara ini penting, demi mewujudkan satu sistem pendidikan negara yang dinamik, holistik dan berkesan selaras dengan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 yang dicanangkan Kementerian Pelajaran.

ZULFAZLAN JUMRAH,

Universiti Putra Malaysia

Berita Harian Online: 29 April 2010

Tiada ulasan: