SABAN tahun beratus-ratus orang guru dipanggil bertugas membantu Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) dalam pelbagai tugasan-- menggubal soalan, memeriksa kertas jawapan, membuat format soalan dan sebagainya.
Sebagai kakitangan pendidikan yang diasuh dengan cogan kata 'Berkhidmat Untuk Negara, tiada sebarang penolakan oleh guru untuk menghadiri pelbagai program LPM walaupun pada masa yang sama guru perlu melaksanakan tugas hakiki mereka di sekolah.
LPM juga sentiasa menghargai sumbangan para guru dengan menyediakan kemudahan mengikut kelayakan seperti elaun perbatuan, tiket penerbangan, kemudahan penginapan mengikut kelayakan dan sebagainya.
Malangnya, mulai tahun 2010, dengan pelbagai alasan kononnya untuk berjimat, LPM telah menidakkan sumbangan para guru dan seterusnya memperkecilkan maruah guru dengan menyediakan kemudahan yang tidak mengikut standard pekeliling yang ditetapkan. Antaranya:-
n Kemudahan tiket penerbangan telah ditarik balik.
Kelayakan yang diberi ialah tambang teksi satu tempat duduk. Bayangkan jika guru berkenaan datang dari Kota Bharu, Kelantan, berapa lama masa diambil untuk menunggu tempat duduk teksi berkenaan penuh? Rasanya dua hari dua malam pun belum tentu teksi berkenaan ada empat penumpang. Suka tak suka guru berkenaan terpaksa memandu kenderaan sendiri dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur.
Sepatutnya guru berkenaan layak menuntut tambang gantian kapal terbang. LPM hanya membenarkan guru menuntut tambang satu tempat duduk teksi. Berapa guru berkenaan dibayar? RM160 pergi-balik untuk perjalanan lebih 1,500 km sedangkan kos sebenar membawa kenderaan sendiri dan tol mencecah RM300 pergi dan balik. Hal ini belum termasuk penat lelah guru mengharungi perjalanan jauh.
n Kemudahan bilik penginapan yang tidak mengikut pekeliling perkhidmatan.
Kerajaan menyediakan kemudahan penginapan satu bilik bagi guru DG48, DG52, DG54 dan ke atas. Guru DG48 ke atas yang berkhidmat dengan LPM biasanya ialah pengetua, pengetua kanan atau guru cemerlang yang berusia lebih 50 tahun ke atas. Ada yang satu atau dua tahun lagi hampir pencen.
Malangnya, LPM telah menarik balik kemudahan ini. Semua peserta mesti berkongsi bilik tanpa mengira gred jawatan mereka. Isunya, standard hotel yang disediakan oleh LPM juga semakin rendah. Ada hotel yang hanya menyediakan satu katil dan sehelai selimut dan bilik yang amat kecil. Apakah 'orang-orang tua' ini selesa untuk berkongsi bilik bagi jangka masa lima hari bertugas di LPM? Kita ingin bertanya kepada Pengarah Peperiksaan, adakah beliau turut mengamalkan berkongsi bilik ketika bertugas di luar stesen/negeri?
n Dasar baru LPM yang mengadakan mesyuarat di LPM Putrajaya atau LPM Jalan Duta amat membingungkan dan menyusahkan guru.
Bayangkan guru dikehendaki hadir mesyuarat pukul 9 pagi Isnin. Maka guru dari Kota Bharu/Alor Star yang baru turun dari bas dengan beg besar pun bergegas ke LPM tanpa mandi sehingga pukul 5 petang untuk melaksanakan tugas.
Selepas pukul 5 petang hari berkenaan mereka dihantar dengan bas (kos bas RM1,000 sehari dan ada lebih lima bas disediakan) ke hotel untuk daftar masuk. Setiap hari, bas akan ambil dan hantar ke LPM. Lucunya, hotel yang disediakan di Shah Alam, mesyuarat di Jalan Duta. Mengapa mesyuarat tidak terus dibuat di hotel berkenaan?
Bayangkan pembuangan masa dan keletihan yang dialami oleh guru. Pada hari terakhir mesyuarat pula guru dibiarkan terkontang-kanting menguruskan pengangkutan ke stesen bas selepas pukul 5 petang untuk pulang ke destinasi. Ini kerana guru tidak dibenarkan menginap pada malam berkenaan walaupun layak berbuat demikian kerana tamat tugas pukul 5 petang.
n Pemilihan hotel yang tidak menepati standard keselamatan mesyuarat kategori sulit.
Mulai tahun ini LPM tidak lagi peduli dengan ciri keselamatan panel mesyuarat. Misalnya, atas alasan kos LPM memilih hotel bujet yang tidak ada CCTV, kawalan keselamatan, kemudahan letak kereta dan hotel di kawasan hitam sebagai pilihan.
Umpamanya, pada Mac lalu, LPM mengadakan mesyuarat di sebuah hotel di Lorong Haji Taib. Hal ini amat memalukan guru kerana 'diganggu' oleh penghuni lorong-lorong berkenaan sewaktu ingin berekreasi di kawasan sekitar hotel.
Sebenarnya banyak lagi perubahan dilakukan oleh LPM sekarang. Pengarah juga tidak pernah melawat/memantau perjalanan mesyuarat untuk melihat sendiri kepayahan guru yang ingin menyumbang bakti kepada negara dan LPM khususnya. Hal ini berbeza dengan pengarah-pengarah lalu yang rajin menjenguk muka memberi motivasi kepada guru.
Kita mohon Kementerian Pelajaran, NUTP, CUEPACS dan sebagainya melihat isu ini. Kita bimbang jika keadaan ini dibiarkan lama kelamaan tiada guru yang ingin memberi sumbangan kepada LPM.
Akhirnya pegawai-pegawai LPM sendirilah yang menyiapkan tugasan membina item, memeriksa kertas dan sebagainya. Akhirnya kesan lebih besar adakah standard kualiti kertas soalan yang dihasilkan memenuhi piawaian antara bangsa yang diuar-uarkan?
ADIWARA
Kluang, JohorUtusan Malaysia Online: 21 April 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan