|
|
KLANG 29 April - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan Kementerian Pelajaran dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) supaya mengkaji semula sukatan pelajaran sekolah agama di negeri itu.
Baginda bertitah, langkah berkenaan bagi memastikan sekolah tersebut tidak hanya menumpukan kepada pelajaran agama tetapi turut memasukkan sukatan pendidikan Sains, Matematik, Sejarah dan lain-lain.
Titah baginda, dengan demikian sekolah aliran agama akan dapat mengeluarkan murid-murid yang cemerlang dalam bidang agama dan juga ilmu keduniaan.
''Beta berharap supaya generasi masyarakat Islam pada masa akan datang menjadi sebuah masyarakat berpendidikan tinggi, seimbang di antara dunia dan akhirat serta mempunyai ciri-ciri insan cemerlang.
''Sebagai ketua agama di negeri ini, beta bertanggungjawab untuk memastikan sistem pendidikan Islam berkembang dengan baik dan umat Islam mendapat pendidikan yang sempurna," titah baginda.
Baginda bertitah demikian semasa merasmikan Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Hishamuddin yang dulu dikenali dengan nama Sekolah Agama Menengah Tinggi, Jalan Kota Raja Klang di Kampung Jawa di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim, Pengarah JAIS, Datuk Mohamed Khusrin Munawi dan pegawai-pegawai kerajaan negeri.
Dalam pada itu, baginda turut berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang telah membantu pembangunan sekolah-sekolah aliran agama Islam di Selangor.
Titah baginda, selama ini Kerajaan Persekutuan telah membiayai pembinaan dan penyelenggaraan bangunan sekolah, penempatan dan gaji guru serta geran pengurusan pendidikan.
Tambah baginda, sekolah-sekolah yang mendaftar dengan Kementerian Pelajaran juga mendapat pelbagai bantuan dan faedah.
''Jadi beta mengingatkan JAIS agar memperkukuhkan kerjasama dengan Kementerian Pelajaran," titah baginda.Utusan Malaysia Online: 30 April 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan