Rabu, 28 April 2010

Kecewa anak gagal temu duga IPGM

2010/04/28

SAYA mewakili anak saya dan ibu bapa yang lain kecewa kerana anak lelaki kami gagal mendapat temu duga ke Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) walaupun mendapat keputusan baik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 lalu.

Kami meminta Kementerian Pelajaran mengkaji semula syarat kemasukan pelajar lelaki ke IPGM bagi membolehkan lebih ramai pelajar lelaki mendapat tempat di institut itu.

Hasrat kerajaan mahu melihat keseimbangan pelajar lelaki dan perempuan di IPGM tidak akan tercapai sekiranya pelajar lelaki yang cemerlang dalam SPM, gagal mendapat temu duga.

Syarat sebenar untuk mendapat temu duga ke IPGM tidak diketahui kerana ada antara pelajar yang mendapat keputusan 5A berjaya mendapat tempat dan ada yang tidak. Jika kursus yang dipohon punca kegagalan itu, bahagian pengambilan IPGM boleh menentukan kursus apa yang mereka layak.

Apakah ada ‘kesilapan’ dalam pemilihan temu duga ke IPGM itu sehingga mereka yang agak cemerlang dalam keputusan SPM dan berminat untuk menjadi guru tercicir dalam senarai temu duga.

Tetapi jika keputusan 5A itu belum layak mendapat tempat di IPGM, pihak kementerian perlu mengkaji syarat kemasukan lelaki ke IPGM supaya lebih ramai lelaki akan berkhidmat sebagai guru.

Berita yang menyatakan hanya 20 peratus saja pelajar lelaki berbanding pelajar perempuan yang memohon memasuki IPGM menguatkan lagi persoalan mengapa pelajar lelaki yang mendapat keputusan 5A gagal mendapat tempat temu duga ke insitut itu.

Saya merayu Kementerian Pelajaran memanggil semula pelajar yang dianggap layak untuk ditemuduga kerana mereka begitu berminat untuk menjadi guru walaupun layak untuk mendapat kursus yang lebih baik di universiti tempatan.

AMIN,
Setiu, Terengganu


Berita Harian Online: 28 April 2010

Tiada ulasan: