Isnin, 26 April 2010

Guru Muet hadapi dilema isu kenaikan pangkat

2010/04/25

SAYA ingin merujuk kepada rungutan 'Guru Muet' yang disiarkan ruangan ini 22 April lalu mengenai Pegawai Jabatan Pelajaran Selangor yang prihatin dan profesional dalam mengendalikan kes beliau.

Malang bagi saya menerima nasib sama, tetapi tidak serupa. Kes saya begini. Saya juga seorang guru Malaysia University English Test (Muet) yang mengajar subjek ini sejak 2002 sehingga kini (tiada putus).

Pada Disember 2009, saya mendapat surat tawaran pemangkuan dari DG41 ke DG44. Malangnya, pada 24 Januari lalu, JPN Perak meminta pengetua memulangkan semula surat itu (dengan kata lain, tawaran ditarik semula) tanpa memberitahu saya.

Saya berjumpa dengan pegawai dari Unit Naik Pangkat, JPN Perak untuk mendapatkan penjelasan. Beliau memaklumkan bahawa nama saya tidak tersenarai dalam senarai calon yang diluluskan oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pelajaran (LKPPP) dengan alasan saya tidak masuk ‘time base’ lagi.

Perkara ini juga saya adukan kepada NUTP dan juga Bahagian Sumber Manusia Kementerian Pelajaran, namun saya mendapat jawapan amat mendukacitakan kerana sebab sebenar tidak diberitahu.

Menurut Pekeliling dikeluarkan kementerian untuk guru Tingkatan 6, saya sudah memenuhi semua syarat yang ada (tiada pun syarat kena masuk time base). Saya masih tertanya-tanya adakah LKPPP sengaja mengada-adakan syarat tambahan untuk menyusahkan guru Tingkatan 6.

Kalau betul kena tunggu masuk ‘time base’ baru dapat dinaikkan, maka bukanlah ‘fast track’ namanya yang digembar-gemburkan oleh kementerian. Di sekolah ini, hanya dua dari 11 guru Tingkatan 6 dilantik.
Mengikut pekeliling yang ada, mereka semuanya layak untuk dinaikkan pangkat. Tetapi sehingga kini, masih tertanya-tanya kedudukan kami. Sampai bilakah keadaan ini akan berterusan?

GURU MUET,
SMKRS, Perak

Berita Harian Online: 26 April 2010

Tiada ulasan: