Ahad, 4 April 2010

SMV laksana konsep Sekolah Keusahawanan

2010/04/04

BACHOK: Kementerian Pelajaran akan melaksanakan Konsep Sekolah Keusahawanan di kalangan Sekolah Menengah Vokasional (SMV) negara ini, dalam usaha melahirkan modal insan yang lebih dinamik serta inovatif, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, konsep baru ini akan menekankan kepada kaedah pendidikan berasaskan pengeluaran hingga pemasaran sesuatu hasil.

Contohnya dalam sektor pertanian, pelajar akan bermula dari proses awal pengenalan bahan seperti benih sehingga produk akhir iaitu pembungkusan dan pengeluaran dalam persekitaran sebenar, katanya.

Beliau berucap merasmikan Gala Kokurikulum Peringkat Kebangsaan 2010, di Pusat Kokurikulum, Kem Tangok, dekat sini, semalam, yang turut disertai kira-kira 300 pelajar.

Hadir sama Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata konsep baru yang dijangka dilaksanakan mulai akhir Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) serta awal RMK-10, mempunyai pendekatan baru membantu menyumbang ke arah pembangunan modal insan terutama generasi muda negara.

Sebagai hadiah kepada rakyat Kelantan, Kementerian Pelajaran akan membina sebuah SMV berkonsepkan pertanian di Pasir Puteh. Tapaknya seluas 98 hektar sudah dikenal pasti dan ia mampu menampung seramai 800 pelajar.
Konsep baru ini membolehkan pelajar mempraktikkan pendidikan dalam bilik darjah dengan persekitaran sebenar, katanya.

Berita Harian Online: 4 April 2010

Tiada ulasan: