Isnin, 26 April 2010

Guru edar pil khayal kena tahan

Oleh M Hifzuddin Ikhsan
hifzuddin@bharian.com.my
2010/04/26

Suspek berusia 24 tahun guna rangkaian pelajar sebagai orang tengah

BETONG: Kegiatan seorang guru lelaki dari Semenanjung menjual dadah dan pil khayal kepada pelajar di sebuah sekolah menengah di sini, terbongkar apabila polis menahannya bersama 1,862 pil nospan, di sini, petang semalam.

Dalam tangkapan di Jeti Sungai Saribas, Pusa, kira-kira jam 4.30 petang semalam, suspek yang berusia 24 tahun dan berasal dari Kedah dalam perjalanan pulang ke Beladin bersama isteri dan seorang anaknya selepas dipercayai mengambil bekalan dadah dari Kuching.

Ketua Polis Daerah Betong, Deputi Superintendan Mohd Bukhori Saffai, berkata suspek yang bertugas di sebuah sekolah di Beladin, dipercayai menjadi pengedar dadah kepada pelajar sekolah sekitar kawasan berkenaan.

“Ketika ditahan, suspek cuba melawan dan cuba melarikan diri namun terpaksa menyerah selepas dikepung anggota polis yang mendapat maklumat mengenai kegiatan pengedaran dadah.

“Selain sejumlah pil nospan yang dianggar bernilai lebih RM1,000, turut ditemui dadah jenis ganja seberat 10 gram. Suspek dan keluarganya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Difahamkan, suspek yang berkahwin dengan isterinya, seorang warga tempatan, bertugas lebih lima tahun di sekolah berkenaan selain kerap ke Kuching bagi mendapatkan bekalan dadah pelbagai jenis bagi dijual kepada pelajar sekolah.
Bukhori berkata, berdasarkan siasatan awal, polis mempercayai suspek menjalankan kegiatan mengedar dadah di Beladin sejak setahun lalu dan mempunyai rangkaian pelajar yang dijadikan orang tengah.

Katanya, polis tidak menolak kemungkinan akan menahan beberapa individu tempatan lagi yang dipercayai menjadi orang tengah kepada suspek.

“Siasatan ke atas suspek sedang dilakukan mengikut Seksyen 6 dan 30 Akta Dadah Berbahaya 1952 dengan perintah tahanan reman akan dibuat esok (hari ini) di Mahkamah Majistret Betong,” katanya.

Tangkapan ini adalah yang pertama di Betong membabitkan guru yang bertugas di kawasan pedalaman mengedar dadah.

Bulan lalu, seorang bekas guru berasal dari Kedah ditahan di Kuching kerana cuba menyeludup daun ketum.

Berita Harian Online: 26 April 2010

Tiada ulasan: