Selasa, 20 April 2010

Usaha seimbang nisbah pengambilan guru lelaki, wanita tindakan bijak

2010/04/20

BARU-BARU ini Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, menyatakan kementerian akan menyeimbangkan nisbah 50:50 pengambilan guru lelaki dan wanita untuk mengikuti kursus latihan perguruan.

Selain itu, kementerian menetapkan 40 peratus calon dari Semenanjung, 30 peratus masing-masing dari Sabah dan Sarawak. Saya amat bersetuju dengan langkah pihak kementerian kerana banyak manfaat diperoleh.

Langkah menyeimbangkan nisbah bilangan calon lelaki dan wanita adalah suatu tindakan bijak dalam usaha menyeimbangkan bilangan guru lelaki dan wanita di sekolah yang ketika ini dimonopoli guru wanita.

Kesan kekurangan guru lelaki di sekolah menyebabkan murid kurang mendapat didikan seorang ‘ayah’ atau sentuhan seorang lelaki. Ini menyebabkan berlaku pelbagai masalah disiplin dan tingkah laku di sekolah dan juga di luar. Setiap sekolah mesti mempunyai guru lelaki yang mencukupi kerana ketegasan mereka dapat mencegah masalah disiplin.

Dalam usaha mencapai matlamat ini, saya mencadangkan kementerian tidak terlalu melonggarkan kelayakan akademik untuk calon lelaki kerana latihan perguruan pada masa ini adalah Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP).

Seterusnya, kementerian melalui Bahagian Pendidikan Guru (BPG) perlu memastikan calon lelaki diambil sebagai guru pelatih adalah tidak lembut. Guru pelatih lembut akan mendatangkan kesan tidak baik kepada murid.

Cadangan terakhir ialah guru pelatih lelaki diberi latihan bersifat ketenteraan seperti askar wataniah supaya sifat ketegasan dan berdisiplin dapat diterapkan dalam diri mereka. Oleh itu, mereka tidak akan menghadapi masalah untuk berkhidmat di kawasan pedalaman.
Langkah pihak Kementerian Pelajaran untuk menyeimbangkan nisbah calon lelaki dan wanita adalah tindakan bijak dan proaktif yang seterusnya memberi impak positif terhadap mutu pendidikan negara.

ASRAF,
Butterworth, Pulau Pinang

Berita harian Online: 20 April 2010

Tiada ulasan: