Sabtu, 24 April 2010

Tambah peluang guru ambil PhD wajar: PIBGN

2010/04/24

KUALA LUMPUR: Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) menyifatkan langkah kerajaan menambah tempat kepada guru yang mahu melanjutkan pengajian doktor falsafah (PhD) dan sarjana adalah suatu yang wajar untuk meningkatkan status akademik tenaga pengajar.

Presidennya, Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata langkah itu memberi satu galakan dan motivasi kepada guru yang mempunyai potensi untuk berjaya tetapi tidak berpeluang berbuat demikian lebih awal disebabkan pelbagai masalah.

“Peluang yang diberikan ini akan menjadikan mereka seorang pemimpin berkaliber dalam dunia pendidikan selaras dengan matlamat negara untuk menjadi pusat kecemerlangan pendidikan serantau. Pada masa sama, guru juga perlu meningkatkan ilmu pengetahuan. “Justeru, kita berharap tempat bagi guru untuk melanjutkan pelajaran perlu ditambah lagi pada masa depan... bukan hanya setakat 30 tempat untuk peringkat PhD dan 70 untuk sarjana,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Semalam, Kementerian Pelajaran meluluskan 30 tempat bagi guru melanjutkan pelajaran ke tahap PhD dan 70 untuk peringkat sarjana bagi memberi peluang lebih ramai kepada guru meningkatkan status akademik mereka.

Timbalan Menterinya, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, pihaknya menerima peruntukan tambahan bernilai RM972.6 juta melalui peruntukan tambahan yang diluluskan Dewan Rakyat, minggu lalu.

Mohamad Ali berkata, bagaimanapun, pihaknya berharap penawaran tempat itu bukan hanya untuk PhD dan sarjana yang dilakukan di universiti semata-mata sebaliknya turut dianjurkan oleh badan profesional seperti institut akauntan, insurans, farmasi serta institusi bank. Beliau berkata, pihaknya menggalakkan guru diberi peluang mengikuti kursus yang dianjurkan badan profesional kerana ia berkait rapat dengan tugas seharian mereka sekali gus meningkatkan pengetahuan dan kepakaran dalam bidang masing-masing.

“Guru yang mahu mengajar prinsip akaun tidak semestinya kena ada PhD dalam bidang itu dan tidak semestinya mereka mengikuti pengajian di universiti semata-mata kerana guru terbabit boleh mengikuti kursus yang ditawarkan badan profesional.

“Bagi saya, kebanyakan kursus yang ditawarkan di badan profesional ini amat mementingkan latihan industri dan saya menganggap ia lebih relevan untuk meningkatkan bukan saja pengetahuan tetapi kemahiran dan kepakaran guru terbabit,” katanya.

Berita Harian Online: 24 April 2010

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Saya dan isteri telah menamatkan pengajian di peringat sarjana. Kami sekarang Gred41. Saya dan isteri bercadang untuk melanjutkan pelajran ke peringkat PhD. Walaupun kami menanggung sendiri perbelajaan, apa yang penting kami bakal memegang Ijazah Doktor Falsafah suatu hari nanti. Kalau ader rezeki nanti, kami mahu berkongsi dengan guru-guru pahit mahu seorang guru yang tidak pernah berhenti belajar dari Ijazah-Sarjana-PhD. Saya yakin kejayaan kami nanti menjadi pendorong kepada anak-anak dan anak murid kami untuk terus belajar tidak mengira umur. Hal kenaikan pangkat, saya percaya pihak kementerian akan melihat susah-payah guru2 yang memiliki sarjana dan PhD nanti. Insya Allah