Sabtu, 24 April 2010

Guru perlu kreatif didik pelajar isu seksual

2010/04/24

SEBAGAI seorang ahli masyarakat, saya juga agak sedih dengan isu buang bayi dan zina sebelum berkahwin. Saya tertarik untuk membincangkan cadangan Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil untuk memperkenalkan pendidikan Sains dan Reproduktif sebagai satu mata pelajaran di sekolah.

Saya sebagai seorang guru merasakan bahawa mata pelajaran biologi, sains menengah rendah dan pendidikan jasmani serta kesihatan sebenarnya mampu memberikan pendidikan seks dan reproduktif kepada remaja kita.

Dalam sukatan mata pelajaran itu, terkandung hal-hal mengenai organ pembiakan, masalah pembiakan, proses kehamilan dan cara mencegah kehamilan. Jika guru yang mengajar dapat mengolah strategi, kaedah dan teknik pengajaran contohnya pengajaran secara konstekstual, pelajar dapat menghubungkait fakta yang dipelajari di sekolah dengan kehidupan sebenar dan diri mereka sendiri. Yang lebih penting ialah pelajar perlu mengetahui kesan tindakan mereka. Alangkah malangnya bagi seorang pelajar yang sudah mengalami haid, belajar mengenai kitaran haid dalam tingkatan tiga tetapi tidak tahu bahawa jika mereka melakukan hubungan seks, mereka boleh mengandung.

Ini adalah akibat daripada proses pengajaran dan pembelajaran untuk mengejar kecemerlangan akademik saja menyebabkan guru lupa untuk menerapkan nilai murni. Kita mungkin sudah lupa Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang mempunyai matlamat untuk menghasilkan insan yang seimbang dan harmonis dalam semua aspek jasmani, rohani, intelek, emosi dan sosial.

Saya dapati seolah-olah tidak ada rasa gerun di kalangan mereka. Setakat ini saya belum baca atau banyak dengar pesalah ini dipertanggungjawabkan atas tindakan mereka. Semua salah orang lain.

IBU GURU, Kuala Lumpur

Berita Harian Online: 24 April 2010

Tiada ulasan: