Selasa, 20 April 2010

Guru pedalaman boleh tuntut elaun kritikal

BACHOK 19 April - Elaun kritikal berjumlah RM1,000 sebulan bagi semua guru yang bertugas di sekolah pedalaman terutama di tiga perkampungan Orang Asli di Gua Musang, Ulu Kelantan boleh dituntut mulai sekarang sebagai ganjaran di atas kesediaan mereka menjalankan tugas sebagaimana yang diarahkan.

Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan, Zahari Daud berkata, ketiga-tiga sekolah berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Biha, SK Balar dan SK Seri Permai yang terletak di pedalaman negeri ini.

"Sekolah-sekolah berkenaan adalah antara 12 buah sekolah Orang Asli yang terdapat di kawasan pendalaman Kelantan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Pak Badol dekat sini semalam.

Menurutnya, ketiga-tiga sekolah itu diberikan bayaran elaun yang lebih tinggi berbanding sekolah-sekolah lain memandangkan kedudukannya yang terletak lebih jauh dengan lima hingga enam jam perjalanan dari bandar Gua Musang.

Beliau berkata, guru-guru sekolah terbabit terpaksa meredah jalan yang lebih sukar termasuk mengharungi lumpur yang berbahaya untuk tiba ke sekolah berkenaan sepanjang musim hujan lebat dan tengkujuh setiap hujung tahun.

Zahari berkata, guru-guru itu juga menghadapi masalah ketiadaan kemudahan asas yang mencukupi terutama bekalan air sehingga terpaksa menggunakan sumber air sungai yang berdekatan untuk keperluan harian selain tiada perkhidmatan bekalan elektrik 24 jam.

"Begitupun, terdapat sesetengah guru tidak mahu ditukarkan ke kampung asal masing-masing kerana sudah sebati dengan tugasan di kawasan pedalaman dan kenaikan bayaran elaun turut memberi semangat kepada mereka untuk mendidik pelajar," katanya.

Beliau berkata, JPN sentiasa berusaha memberi perkhidmatan terbaik dan mengatasi segala masalah yang dihadapi sekolah di kawasan pendalaman termasuk membekalkan peralatan pengajaran dan pembelajaran serta perancangan strategik menempatkan guru-guru yang berpengalaman.

Tambahnya, perancangan itu termasuk membekalkan guru Bahasa Inggeris ke kawasan berkenaan.

Utusan Malaysia Online: 20 April 2010

Tiada ulasan: