Guru jadi mangsa kerenah pentadbiran
Oleh Azhar Abu Samah
2010/04/04
Kementerian Pelajaran perlu pastikan pekeliling dasar turut dipatuhi sekolah, jabatanPASTI ramai tertanya-tanya kenapa semakin banyak masalah berkaitan guru timbul sejak kebelakangan ini. Masalah berbangkit ini sebenarnya isu lama yang tidak diselesaikan sejak dulu, sebaliknya ia dibiarkan tergantung supaya isu itu akan lenyap mengikut masa.
Sikap keterbukaan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran ingin tahu masalah membabitkan warga pendidik akhirnya mendedahkan pekung sebenar. Sebaik pelantikannya sebagai Menteri Pelajaran, Muhyiddin turun padang melawat sekolah bermasalah dari segi infrastruktur di sekolah kebangsaan, sekolah menengah jenis kebangsaan Cina dan Tamil dan membantu memperbaikinya.
Dari situlah beliau mula melihat dan mengetahui masalah di sekolah, bukan setakat kurang kemudahan atau bangunan rosak, sebaliknya beban kerja warga pendidik yang terpaksa melakukan kerja berlebihan termasuk pentadbiran dan perkeranian hingga mengganggu tanggungjawab mendidik.
Berikutan itu, Muhyiddin mengumumkan penubuhan jawatankuasa yang dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dan dianggotai beberapa pegawai pelajaran dan wakil Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) bagi mengenal pasti tahap keseriusan isu berkenaan serta diberi tempoh dua bulan untuk menyelesaikannya.
Bagi NUTP, guru menanggung beban kerja berganda akibat wujudnya arahan dalam arahan apabila mereka terpaksa melakukan tugasan dalam skop sama berulang kali atas arahan pihak atasan pada peringkat berbeza. Ketika ini, semua pihak di kementerian, jabatan pelajaran negeri, pegawai pelajaran daerah dan pengetua memberikan arahan masing-masing akibatnya sudah pasti antara arahan ini menyanggahi atau melampaui arahan yang berasal dari kementerian.
Seperti kata Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng, senario itu berlaku apabila Kementerian Pelajaran mengeluarkan pekeliling yang mengarahkan guru melaksanakan program tertentu, tetapi pada masa sama mereka dikehendaki menjalankan lagi program seumpama atas arahan pentadbiran pada peringkat jabatan pelajaran negeri atau daerah, walaupun semua mengandungi pengisian hampir sama.
Keadaan sedemikian didakwa NUTP berlaku di negeri tertentu menyebabkan guru terpaksa akur dengan arahan pihak atasan pada peringkat berbeza sehingga berlaku pembaziran masa dan menjejaskan tanggungjawab pendidik dalam pengajaran dan pembelajaran.
Justeru, dalam menangani situasi sebegini, NUTP berharap guru hanya perlu akur kepada pekeliling Kementerian Pelajaran dan tidak perlu ditokok tambah dengan program yang mirip oleh jabatan pelajaran negeri atau daerah.
Di atas kertas, cadangan penyelesaian NUTP ini nampak mudah. Namun, berdasarkan senario semasa, ia bukan semudah itu. Sebagai contoh, sehingga kini, kebanyakan sekolah tidak mematuhi pekeliling waktu mengajar guru pusat sumber sekolah, terutama di Kuala Lumpur. Pekeliling mengenainya sudah ada tetapi tidak diikuti atas alasan sekolah kekurangan guru, selain tiada kesungguhan untuk melaksanakannya, termasuk pada peringkat Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) yang mengawal Pusat Sumber Pendidikan Negeri (PSPN). Mengikut satu sumber, seorang bekas pengarah pelajaran pernah memperkecilkan pekeliling ini pada satu majlis terbuka.
Ini hanya satu contoh permasalahan kecil yang sehingga kini tidak dapat diselesaikan JPN, sedangkan pekeliling mengenainya sudah ada. Hakikatnya, pekeliling bukan penyelesaian masalah yang ada di sekolah, sebaliknya ia lebih kepada kelemahan penguatkuasaan pekeliling terbabit.
Selain mematuhi pekeliling, ketelusan perlu ada dalam isu tertentu, khususnya membabitkan guru/pegawai jabatan tidak dibenarkan membuat tuntutan perbatuan atau perjalanan. Sehingga kini tiada pekeliling mengenai larangan ini, sebaliknya ia hanya dicanangkan ketua kerani di sekolah.
Sukar untuk percaya tetapi itulah hakikatnya apabila guru dan pengetua menghadiri mesyuarat atau berkursus dijamu nasi atau kuih dibungkus dalam plastik bersama air mineral yang harganya tidak melebihi RM4, selain dipesan ketua kerani supaya tidak membuat tuntutan perjalanan, sedangkan ada kakitangan awam lain menerima pelarasan gaji dan tunggakan elaun.
Berita Harian Online: 4 April 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan