Rabu, 14 April 2010

SSAS sekolah cemerlang kokurikulum Putrajaya

PUTRAJAYA 13 April – Sekolah Sultan Alam Shah (SSAS) di sini dipilih sebagai sekolah cemerlang kokurikulum pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum sekolah- sekolah Wilayah Persekutuan Putrajaya hari ini.

Penganugerahan bagi kategori Sekolah Menengah itu dipilih berdasarkan penyertaan terbanyak dan paling cemerlang sekolah terbabit di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

SSAS pernah menyertai kejohanan Formula 1 in School Technology Challenge 2009 di London dan mendapat tempat kelapan daripada 31 negara selain tempat kedua menerusi pertandingan Lego Robotik di Australia.

Bagi kategori Sekolah Rendah pula, ia dimenangi Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (1) manakala atlet terbaik kategori Sekolah Menengah dianugerahkan kepada Mohamad Azri Abd. Raduan dari Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 8 (1) menerusi penyertaan beliau dalam sukan boling di peringkat antarabangsa.

Atlet terbaik kategori sekolah rendah pula dianugerahkan kepada Muhammad Danial Sabri dari Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 8 (2) kerana pembabitan cemerlangnya dalam sukan terjun papan anjal.

Anugerah kecemerlangan itu disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Asariah Mior Shaharuddin.

Sementara itu, Asariah dalam ucapannya berkata, anugerah kecemerlangan kokurikulum itu merupakan satu pengiktirafan terhadap kebitaraan yang dicapai oleh sekolah dalam bidang-bidang tertentu.

“Hal ini bertepatan dengan transformasi baru dalam bidang pendidikan iaitu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang menawarkan pelbagai insentif termasuk aspek kokurikulum.

“Pengiktirafan ini juga merupakan perjanjian kita terhadap kecemerlangan pendidikan dalam semua aspek untuk menjana modal insan cemerlang,” katanya.

Utusan Malaysia Online: 14 April 2010

Tiada ulasan: