Saya merujuk kepada tulisan bertajuk Pensyarah perguruan mengadu penat, letih kerja tulisan Pensyarah Penat yang disiarkan dalam ruangan ini kelmarin. Selain itu akhbar juga sudah banyak menyiarkan keluhan oleh para guru yang juga penat dengan tugas mereka sebagai pendidik.
Keputusan panggilan temuduga guru untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru diumumkan dan anak saya gagal dipanggil untuk temuduga tersebut. Saya agak kecewa tetapi redha kerana keputusan SPMnya tidak sebaik pelajar lain. Tetapi yang lebih mengecewakan ialah mereka yang telah bekerja sebagai guru dan pensyarah masih merungut tentang beban kerja mereka.
Para guru dan pensyarah di zaman sekarang perlu menerima keadaan semasa. Mereka perlu sanggup menerima beban kerja yang semakin bertambah seiring dengan zaman yang mencabar sekarang. Apalah sangat sekiranya terpaksa bekerja hingga lewat petang atau malam. Anda masih bernasib baik kerana kerja dan pendapatan anda amat terjamin. Tidak perlu risau kehilangan kerja. Anak-anak terjamin ada tempat tinggal dan makan minum. Bayaran ansuran kereta anda juga terjamin dapat dibayar walau untuk sembilan tahun lagi.
Bandingkanlah dengan mereka yang dulunya sama-sama memohon ingin menjadi guru seperti anda tetapi gagal dan sekarang terpaksa bekerja di syarikat swasta. Mereka terpaksa bekerja bertungkus lumus supaya tidak dipecat. Ada yang sanggup mengambil beban kerja yang lebih semata-mata tidak ingin dipecat dan membantu syarikat mengharungi keadaan yang sukar. Malam pula terpaksa buat kerja sampingan untuk menambah pendapatan.
Jika kita lihat sekarang mana ada kerja yang mudah. Semua orang terpaksa bertungkus lumus untuk mencari pendapatan dan bekerja dengan lebih kuat. Ini bermaksud kita terpaksa menerima beban kerja yang bertambah. Tidak ada masa lagi untuk balik rumah untuk berkebun atau memancing.
Sesuatu yang menghairankan, ada segelintir guru dan pensyarah yang sempat membuat jualan langsung dan ada juga yang cuba menjadikan pelajar mereka sebagai ejen bawahan mereka. Masih ada masa pula.
Arwah bapa saya juga adalah seorang guru. Saya pernah melihat beliau membawa pulang kerja sekolah untuk diselesaikan di rumah dan bekerja hingga malam. Apa yang menghairankan, beliau tidak pernah merungut tentang beban kerja tersebut.
Sepanjang tugas beliau selama lebih 20 tahun beliau tidak pernah mengambil cuti sakit. Beliau pernah ke rumah pelajar yang ponteng dan memaksa pelajar tersebut ke sekolah. Ini adalah kerja lebih yang beliau sendiri rela lakukan untuk kebaikan pelajarnya. Adakah ini bebanan kepada cikgu sekarang? Menyelesaikan tugasan bukanlah bebanan tetapi tanggungjawab.
Guru-guru dan pensyarah tidak dihalang untuk berhenti sekiranya tidak sesuai dengan kerja tersebut. Berhentilah dan marilah bersama kami di luar ini yang hidup ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Tak kais, tak makan.
Guru dan pensyarah yang membuat jualan langsung dan perniagaan berhentilah dan marilah bersama kami mengharungi kehidupan ini di dalam dunia perniagaan. Di masa itu mungkin baru anda akan sedar kerja anda sekarang membebankan atau tidak.
Belajarlah tentang pengurusan masa dan keutamaan kerja, atau sekiranya anda rasa ditindas oleh jabatan atau kementerian anda, buatlah laporan ke Jabatan Buruh sekiranya anda benar.
Bersyukur dan berterima kasihlah dengan rezeki yang ada. Pesan bapa saya, kita perlu taat dengan kerja kita, pasti hati akan merasa tenang.
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada sekelian guru saya dan guru anak-anak saya yang mengajar tanpa jemu dan penuh dedikasi. Apa yang anda lakukan adalah lebih daripada apa yang kami harapkan. Terima kasih cikgu!Utusan Malaysia Online: 28 April 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan