Khamis, 8 April 2010

IPGKM anjur kursus martabat Bahasa Melayu kepada guru sekolah rendah

2010/04/08

INSTITUT Pendidikan Guru Kampus Perempuan Melayu (IPGKPM) dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri Melaka, menganjurkan kursus Memartabatkan Bahasa Melayu, di Melaka baru-baru ini.

Ketua Jabatan Pengajian Melayu IPGKPM, Mohamad Zaki Abd Majid, berkata kursus itu menekankan lima aspek penting iaitu pedagogi bahasa, tatabahasa, kreativiti kebahasaan, penggunaan aplikasi teknologi dalam bahasa dan konsep didik hibur dalam pengajaran bahasa.

Beliau berkata, sebagai permulaan, 40 guru sekolah kebangsaan dan sekolah rendah jenis kebangsaan Cina dan Tamil mengikuti siri pertama program berkenaan.

Katanya, guru didedahkan isu berkaitan kemahiran berkomunikasi serta kesan terhadap pengajaran dan pembelajaran ke arah memperkasa dan melonjakkan kecemerlangan bahasa Melayu.

"Kemahiran berkomunikasi bukan saja dilihat dari segi penulisan tetapi juga pertuturan pergaulan seharian atau peperiksaan. Contohnya elemen penggunaan peribahasa, kiasan, pantun dan gurindam,” katanya.

Mohamad Zaki mahu guru mengguna pakai maklumat tambahan diperoleh dalam pengajaran dan pembelajaran selaras tranformasi kurikulum bahasa Melayu.

Perubahan itu katanya, memberi penekanan kepada penghayatan dan apresiasi dalam aspek kesusasteraan Melayu di samping memantapkan kemahiran mendengar, membaca dan menulis serta penguasaan tatabahasa dan seni bahasa.
Sementara itu, guru SK Batu Berendam 1, Julailapitriani Matt Ujui, berkata input yang diperoleh melalui kursus memberi suntikan semangat untuknya meningkatkan kemahiran dalam menyampaikan ilmu secara berkesan.

"Penceramah berpengalaman dapat berkongsi kemahiran serta kepakaran dalam meningkatkan keberkesanan proses pengajaran mata pelajaran berkenaan. Proses pengajaran berkesan mewujudkan suasana pembelajaran lebih menyeronokkan,” katanya.

Berita Harian Online: 8 April 2010

Tiada ulasan: