Ahad, 4 April 2010

Rumah kabin ganti bilik di bawah kelas

Oleh Mohd Roji Abdullah
mdroji@bharian.com.my
2010/04/04

Selesai masalah kediaman guru SK Long Lutin

KUCHING: Kementerian Pelajaran akan membina rumah kabin sebagai kediaman empat guru termasuk sepasang suami isteri di Sekolah Kebangsaan (SK) Long Lutin, Ulu Baram, yang terpaksa tinggal di bawah bilik darjah di sekolah berkenaan sejak tiga tahun lalu.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata beliau akan menemui Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan mengemukakan cadangan bagi mengeluarkan peruntukkan kecemasan untuk membina rumah guru kabin itu.

Beliau berkata pembinaan rumah guru kabin dengan kos kira-kira RM100,000 seunit adalah pendekatan berkesan untuk menyelesaikan masalah kediaman guru itu dengan segera.

Saya amat terkejut apabila terbaca laporan akhbar mengenai nasib guru di SK Long Lutin itu dan lebih mengejutkan apabila masalah kediaman guru itu berlarutan sejak tiga tahun yang saya rasa tempoh terlalu panjang dan cukup mencabar bagi guru terbabit.

Saya akan meminta Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak supaya mengemukakan laporan segera berhubung masalah itu, katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau mengulas laporan nasib guru berkenaan yang terpaksa tidur dalam sebuah bilik sempit berukuran enam meter panjang dan tiga meter lebar dengan ketinggian hanya dua meter kerana kediaman guru sedia ada tidak mencukupi.

Sambil menyuarakan rasa kagumnya terhadap pengorbanan guru berkenaan, Mohd Puad turut mengakui masih banyak yang perlu dilakukan untuk mengatasi masalah kediaman guru di kawasan pendalaman dan pihaknya memerlukan maklumbalas daripada pelbagai pihak untuk mengesan sebarang masalah yang perlu diberi keutamaan.
Dalam hal ini (SK Lutin), saya hanya mengetahui masalah itu daripada laporan akhbar yang jelas mendedahkan masalah yang dihadapi guru terbabit.

Jika masalah seperti ini berlarutan, kita akan terus menghadapi kesukaran untuk menghantar guru ke pedalaman, katanya.

Berita Harian Online: 4 April 2010

Tiada ulasan: