Ahad, 18 April 2010

Sekolah khas gilap pelajar berbakat

2010/04/18

ROSMAH menerima   Anugerah Keamanan dan Keharmonian Antarabangsa daripada Majlis Perniagaan bagi Persefahaman Antarabangsa (BCIU) Amerika disampaikan   bekas Setiausaha Negara Amerika, Lawrence Eagleburger  di New York.
ROSMAH menerima Anugerah Keamanan dan Keharmonian Antarabangsa daripada Majlis Perniagaan bagi Persefahaman Antarabangsa (BCIU) Amerika disampaikan bekas Setiausaha Negara Amerika, Lawrence Eagleburger di New York.
Operasi pengambilan dijangka tahun depan

NEW YORK: Sebuah sekolah bagi pelajar yang memiliki bakat luar biasa berumur antara 15 dan 17 tahun dijangka mula beroperasi tahun depan, kata isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Dalam ucapan pada majlis Ceramah Wanita Pertama anjuran Forum Antarabangsa Wanita di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di sini kelmarin. Rosmah, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Dasar Permata Negara, berkata pada peringkat awal, sekolah berkenaan, yang sedang dibina di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), akan mengambil kira-kira 200 pelajar.

Sekolah berkenaan, yang akan ditadbir UKM dengan kerjasama Johns Hopkins University dari Amerika Syarikat adalah sebahagian daripada program Permata Pintar yang bertujuan memberi bimbingan kepada pelajar yang memiliki bakat luar biasa.

Rosmah berkata: "Kami ju ga berjaya mengendalikan kem pertama baru-baru ini bagi kira-kira 400 kanak-kanak berbakat luar biasa kami dengan kerjasama Pusat bagi Belia Berbakat, Johns Hopkins University."

Program itu adalah antara program yang diwujudkan melalui inisiatif Rosmah bagi mengenal pasti serta memupuk kepandaian luar biasa yang dimiliki kanak-
kanak berkebolehan istimewa berusia antara sembilan dan 15 tahun dari segi akademik dan muzik, di samping memberi perhatian istimewa apa yang mereka perlukan.
Rosmah berkata bagi kanak-kanak yang memiliki bakat istimewa dalam bidang muzik, Permata Negara akan memberi perhatian khusus untuk menggilap kebolehan mereka dengan matlamat untuk menubuhkan sebuah orkestra bertaraf dunia serta kumpulan koir dan tarian tradisional bertaraf antarabangsa.

"Saya percaya ini adalah asas penting bagi membentuk modal insan yang berkualiti dan produktif, di samping menyediakan peluang bagi pemupukan potensi besar serta yang tidak ternilai harganya dalam diri kanak-kanak ini," kata beliau.

Beliau memberitahu hadirin bertaraf antarabangsa itu, termasuk isteri diplomat dan perwakilan asing yang ditauliahkan ke PBB, bahawa dalam tempoh empat tahun lalu, Permata Negara menerima geran berjumlah RM270 juta (AS$75 juta) bagi melaksanakan pelbagai programnya.

Ini termasuk menguruskan 400 pusat Permata bagi pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak, terutama di luar bandar dan kawasan separa bandar, katanya. – Bernama

Berita Harian Online: 18 April 2010

Tiada ulasan: