Sabtu, 17 April 2010

Lima kali mohon KPLI tak dilayan

2010/04/17

SAYA kecewa dengan pengurusan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang tidak prihatin kepada pemohon seperti saya yang memohon Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) sejak 2002 sehingga 2010 dan tidak pernah diberi peluang menunjukkan kemampuan saya untuk menjadi guru.

Apa yang menyedihkan tahun ini saya tidak dipanggil menduduki ujian MTest pada 13 Mac dan 27 Mac lalu (untuk calon rayuan) sedangkan ia tahun terakhir saya layak memohon kerana antara syarat layak KPLI ialah umur tidak melebihi 35 tahun pada tarikh kemasukan ke maktab perguruan.

Apabila saya membuat rayuan dengan berjumpa Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Guru Cawangan Sabah (BPG), beliau pun tidak dapat berbuat apa-apa. Hanya budi bicara Pengarah BPG di kementerian yang boleh membantu, kata beliau.

Menurut beliau, umur saya pada tarikh 28 Jun (iaitu tarikh kemasukan ke maktab pelajar KPLI ambilan Jun 2010) lebih 35 tahun 1 bulan 26 hari. Bagaimanapun beliau tetap membantu saya dengan mengemukakan rayuan kepada Pengarah BPG di Putrajaya.

Persoalan saya, kenapa permohonan KPLI pemohon yang sudah melebihi lima kali tidak diberi perhatian? Selama memohon saya tidak pernah dipanggil temu duga walaupun saya membuat rayuan untuk dipanggil temu duga setiap tahun sejak 2002.

Jika tidak berminat menjadi guru, saya tidak memohon setiap tahun dan mungkin berhenti memohon apabila kecewa dengan jawapan yang terpapar di skrin komputer setiap kali menyemak keputusan panggilan temu duga ‘MAAF NAMA ANDA TIDAK BERJAYA’.

Tetapi disebabkan minat dan keinginan yang kuat, saya tidak berputus asa dan terus memohon. Setiap kali gagal dipanggil temu duga, saya tertanya-tanya apakah saya tidak layak?
Saya mempunyai ijazah yang diiktiraf, ada pengalaman mengajar serta aktif dalam persatuan dan sukan peringkat sekolah menengah dan universiti.

Apa lagi yang perlu saya ada untuk melayakkan dipanggil temu duga. Kalau mahu diambil kira soalan dan jawapan MTest, rasanya tiap-tiap tahun soalan yang hampir sama diberikan.

Saya juga pernah memohon guru sandaran tidak terlatih. Alhamdulillah, saya dipanggil temu duga setiap kali memohon, tapi perasaan saya hampa apabila orang yang berjaya mendapat jawatan itu adalah anak orang yang mempunyai kabel kuat di jabatan pendidikan negeri.

Namun, saya tidak pernah putus asa. Tahun lalu saya menghadiri sesi temu duga jawatan guru sandaran tidak terlatih bagi sekolah menengah di PPD Kota Marudu. Entah di mana silapnya sesi temu duga itu berlanjutan sehingga malam dan saya sendiri selesai temu duga kira-kira jam 8 hingga 9 malam.

Saya sampai di rumah kira-kira jam 11 malam kerana dari PPD Kota Marudu ke rumah saya mengambil masa sejam. Mujur pada masa itu saya ditemani ibu saya. Jika saya tidak berminat menjadi guru, saya tidak akan tunggu sampai begitu lama.

Sebelum keluar bilik penemuduga itu, saya nyatakan juga bahawa ini peluang saya yang terakhir, sebab faktor umur.

Namun, malangnya yang berjaya adalah calon yang belum pun setahun menganggur dan tiada pengalaman mengajar.

Saya amat kesal dan terkilan dengan pengurusan bahagian pengurusan KPLI. Kenapa orang yang benar-benar berminat tidak diberi peluang untuk menunjukkan kemampuan mereka.

ANN M,
Kuala Lumpur

Berita Harian Online: 17 April 2010

1 ulasan:

Ibnu Rashid berkata...

salam,
saudara/ri, saya amat simpati atas apa yg berlaku keatas saudara/ri. saya amat setuju dgn kenyataan anda. sebenarnya apa yg berlaku bia ada pemilihan guru sandaran, ramai yg terlibat keluar masuk di pjbt pndidikan untuk menunjumuka dan minta di senaraikan nama mereka w/laupun sememanggnya tidak layak untuk mnjad seorang guru mengikut syarat y ditetapkan. ada jugak yg mengmbl kesempatan dgn menggnakankan kabel2 yg berpengaruh samada orang pejbat itu sendiri atau kenamaan2 di luar sana. ada yang bertalipon sambil merayu2. ada jugak oran2 di pejabat tersebut meletakkan nama2 anak bah nya kunun dan sebagainya. mereka tidak memilih mngikut kritiria2 yg ditetapkan. namun bila di tanya... alasan mereka mengikut arahan. kami tidak bolah buat apa2.
itu senario yang berlaku skrg. bukan bermakna semua yg di ambil itu enggunakan kabel, ada jgak yg berkelayakan terma tawaran tersebut. tapi kenapa berlaku jagak sebahagian yang menggunakan kabel,ini persoalannya.
kepada sauara/ri, sabarlah dgn apa yang berlaku dgn karena birokrasi ini. mudahan2 saudara/ri akan mendapat kerj yang lebih bagus dari apa yang saudara/ri impikan. Insyaallah ada hikmah di sebalik apa yg berlaku.