Khamis, 15 April 2010

Sekolah kurang serius pelihara alam sekitar


MUNAWIR Ab. Ghani (berdiri tengah), bersama kakitangan Silteera, Jabatan Pendidikan Daerah dan pelajar-pelajar selepas Majlis Pelancaran Projek Pemuliharaan Alam Sekitar di Kulim, semalam.


KULIM 14 April - Tahap kepekaan pihak sekolah dalam memulihara alam sekitar boleh disifatkan sebagai amat rendah. Ini dapat dilihat menerusi sambutan terhadap Pertandingan Projek Pemuliharaan Alam Sekitar di daerah ini pada 28 April ini yang menawarkan hadiah lumayan hanya disertai oleh 21 buah sekolah menengah.

Pengarah Kanan Sumber Manusia Silterra Malaysia Sdn. Bhd, Munawir Ab. Ghani berkata, pihaknya selaku penganjur membelanjakan sebanyak RM50,000 untuk menjayakan pertandingan berkenaan.

Menurutnya, pelajar sekolah perlu diberi panduan awal supaya mereka bersama-sama dapat memainkan peranan dalam menangani masalah berkaitan alam sekitar.

"Jika masalah alam sekitar tidak diberi perhatian bersungguh-sungguh, pelbagai pencemaran pasti berlaku dan bakal dihadapi oleh generasi akan datang.

"Selepas kempen seumpama ini dilancarkan, pelajar sekolah diharap mempunyai tabiat lebih baik untuk bersama-sama menjaga kebersihan di kawasan masing-masing," katanya.

Pertandingan yang bakal disertai 210 pelajar itu adalah pertama kali dianjurkan oleh Silterra.

Hadiah wang tunai untuk pemenang pertama adalah RM3,000, kedua RM2,000 dan ketiga RM1,000 manakala tujuh pemenang saguhati akan menerima RM500.

Sementara itu Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Kulim/Bandar Baharu, Md. Zahir Husin memberitahu, langkah yang diambil oleh Silterra menganjurkan pertandingan tersebut seharusnya dicontohi oleh syarikat-syarikat korporat lain.

Jelasnya, melalui pertandingan seumpama itu ia dapat melahirkan lebih ramai individu yang prihatin terhadap alam sekitar.

Utusan Malaysia Online: 15 April 2010

Tiada ulasan: