Jumaat, 16 April 2010

Guru disaran guna ADD Berita Harian

2010/04/16

KEPALA BATAS: Jabatan Pelajaran Pulau Pinang menggalakkan guru di negeri ini menggunakan Program Akhbar Dalam Darjah (ADD) Berita Harian sebagai alat bantuan pengajaran dan pembelajaran (P&P).

Ketua Sektor Pengurusan Akademiknya, Fatimah Othman, berkata sisipan dalam Berita Harian seperti Didik, Skor dan Minda perlu dimanfaatkan kerana ia mampu membantu guru meningkatkan prestasi pelajar.

“Menggunakan alat bantuan seperti akhbar dapat menambah kreativiti seseorang guru dan murid serta menjadikan proses pembelajaran tidak membosankan berbanding menggunakan kaedah tradisional.'

“Ini sekali gus akan merangsang minat murid untuk belajar seterusnya meningkatkan pencapaian mereka,” katanya ketika merasmikan Bengkel ADD peringkat Seberang Prai di sini, semalam.

Bengkel disertai lebih 50 guru sekolah menengah sekitar Seberang Prai yang memberi peluang kepada mereka mendapatkan penjelasan lanjut mengenai sisipan Didik, Skor dan Minda.

Kelmarin, bengkel yang sama disertai hampir 100 guru sekolah menengah di bahagian pulau negeri ini.

Fatimah berkata, Jabatan Pelajaran Pulau Pinang menyambut baik langkah Berita Harian menganjurkan Bengkel ADD bagi memberi penerangan kepada guru untuk menggunakan akhbar ketika mengajar.
“Saya minta guru yang menyertai Bengkel ADD ini supaya menggunakan sebaik mungkin peluang dan melaksanakan apa diberitahu apabila mengajar nanti.

“Saya juga mahu supaya mereka berkongsi ilmu diterima pada hari ini (semalam) dengan guru yang tidak menyertai bengkel bagi mengembangkan lagi pengetahuan,” katanya.

Katanya, pihaknya memuji Berita Harian yang sememangnya terkenal sejak dulu sebagai pihak yang mengutamakan sektor pendidikan dalam operasinya.
“Sebab itu, Jabatan Pelajaran sedia bekerjasama dengan Berita Harian dalam melaksanakan apa juga program pendidikan seperti Bengkel ADD,” katanya.

Berita Harian Online: 16 April 2010

Tiada ulasan: