Ahad, 10 Mei 2009

Johor: Polis sedia peti aduan di sekolah

Oleh Azida Shaharuddin
azida@nstp.com.my

Bantu tangani masalah disiplin juvana

PASIR GUDANG: Polis dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Johor akan menempatkan peti aduan di seluruh sekolah negeri ini, sebagai alternatif kepada mereka menyalurkan sebarang aduan atau cadangan menangani jenayah di kalangan pelajar sekolah.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata keputusan itu hasil Mesyuarat Majlis Permuafakatan Antara Polis Johor dengan Jabatan Pelajaran Johor yang bertujuan menangani masalah disiplin pelajar.

“Sebelum ini, kita ada terima aduan mengenai pelajar tidak mempunyai saluran untuk menyampaikan masalah mereka.

“Mesyuarat memutuskan untuk meletakkan peti aduan di satu sudut yang dikenali Sudut Polis di setiap sekolah. Ia akan dipantau seorang pegawai polis dan guru disiplin,” katanya selepas mesyuarat itu di Kelab Golf Tanjung Puteri di sini, kelmarin.

Hadir sama, Pengarah Pelajaran Johor, Sufa'at Tumin.

Mohd Mokhtar berkata, berdasarkan statistik tahun lalu, sebanyak 147 kes jenayah dilaporkan membabitkan pelajar sekolah dengan 145 kes pelajar sekolah menengah dan dua lagi, murid sekolah rendah.

“Bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini, sebanyak 14 kes membabitkan jenayah kekerasan dengan 17 pelajar ditahan, 47 kes jenayah harta benda dengan 57 pelajar ditahan manakala 125 orang ditahan atas pelbagai kesalahan lalu lintas terutama yang menunggang motosikal.

“Bagaimanapun, kadar jenayah ataupun masalah disiplin membabitkan pelajar tidak terlalu serius seperti yang digembar-gemburkan sesetengah pihak. Usaha akan terus dipertingkat bagi mengatasi masalah itu,” katanya.

Berita Harian Online: 10 Mei 2009

Tiada ulasan: