Selasa, 12 Mei 2009

Utara: PIBG bantah bina rumah dalam kawasan sekolah

Oleh Zulfa Mohamad
bhnews@bharian.com.my


KHALID (tengah) serta bekas pelajar sekolah SMK St Mary melihat surat bantahan mengenai cadangan pembinaan projek perumahan atas padang sekolah.

Projek dilulus PBT Jun lalu jejas padang digunakan pelajar

BUTTERWORTH: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Mark di sini, membantah cadangan projek perumahan dalam kawasan sekolah itu kerana ia menjejaskan kawasan padang dan gelanggang bola keranjang sekolah.

Selain kira-kira 1,600 pelajar sekolah itu, padang dan gelanggang berkenaan turut digunakan oleh penduduk setempat untuk beriadah serta menjadi lokasi kejohanan olahraga sekolah lain.

Difahamkan, kebenaran merancang pembangunan diluluskan Majlis Perbandaran Seberang Prai pada Jun tahun lalu selepas pemilik tanah itu menjualnya kepada pemaju.

Berikutan itu, Pengerusi PIBG sekolah berkenaan, Khalid Omar, melalui Ahli Dewan Undangan Negeri Teluk Air Tawar, Datuk Jahara Hamid menyuarakan rasa dukacita mengenainya dan menghantar surat bantahan kepada Kementerian Pelajaran.

Khalid berkata, padang dan gelanggang bola keranjang itu turut digunakan pelajar Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa, SRJKC Chung Hwa Cawangan, SMK Kampung Kastam dan SMK Datuk Onn.

"SMK St Mark saja mempunyai 1,600 pelajar dan memerlukan kawasan lapang untuk kegiatan sukan dan riadah. Projek perumahan itu akan menyebabkan kawasan sekolah menjadi sempit serta menjejaskan tempat meletak kenderaan.

"Kami harap kementerian dapat menghalang cadangan membina projek perumahan dalam kawasan sekolah demi kepentingan pelajar," katanya di sini, semalam.

Selain gelanggang bola keranjang, bangunan pengakap serta Persatuan Bulan Sabit Merah turut berada dalam kawasan yang akan dibangunkan, sekali gus boleh menjejaskan kegiatan kokurikulum pelajar.

Khalid berkata, jika projek berkenaan diteruskan, keadaan akan menjadi bising ketika proses pembinaan dan sudah tentu mengganggu tumpuan pelajar serta guru.

"Sekolah ini sudah banyak berjasa dan melahirkan ramai pemimpin. Oleh itu, apa yang ada sekarang tidak boleh dikorbankan begitu saja kerana ia membabitkan masa depan pelajar," katanya.

Berita Harian Online: 12 Mei 2009

Tiada ulasan: