Khamis, 7 Mei 2009

Guru KPLI tertekan sikap ’kuku besi’ pengarah IPGM

SAYA mewakili guru pelatih Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) ambilan Januari 2009 Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Melaka, ingin menyuarakan masalah yang kami hadapi. Masalah ini terpaksa didedahkan melalui media berikutan aduan kami sebelum ini tidak dilayan pengarah IPGM KPM.

Antara masalah yang kami hadapi ialah:

l Ketika pendaftaran pelajar baru KPLI, kami membayar sejumlah RM300 bagi yuran dan kit seperti baju-T dan seluar sukan. Malangnya, sehingga hari ini kami tidak menerima seluar sukan seperti yang dijanjikan.

l Pembayaran RM305 bagi baju batik maktab IPGM KPM dan jaket rasmi yang diwajibkan. Jika pembeliannya dikenakan pada awal pendaftaran, maka kami tidak akan berasa beban. Malangnya, kami akan menjalani latihan mengajar mulai 22 Jun dan ini tidak memberi sebarang sebab yang munasabah bagi kami membelinya.

Kami sudah berbincang dengan pihak atasan IPGM namun tidak diendahkan, malah pihak terbabit menyatakan itu adalah salah satu cara bagi mereka mendapatkan sumbangan dari pelajar KPLI.

l Kami juga sering tertekan dengan pernyataan kebanyakan kakitangan IPGM kononnya pelajar KPLI ambilan Januari 2009 tidak menghormati kakitangan institusi.

Untuk pengetahuan, kami menghabiskan kebanyakan waktu kuliah di luar institusi iaitu di bangunan OUM Melaka. Maka, tidak wajarlah jika kami dituduh menimbulkan masalah di maktab seperti menyebabkan kesesakan di institusi dan akibatnya kami dilarang membawa kenderaan masuk ke dalam institusi sedangkan kami membayar duit pelekat kenderaan RM5.

Kami berharap, semua pihak terutama Kementerian Pengajian Tinggi mengambil tindakan sewajarnya.



BAKAL GURU

TERTEKAN,

Melaka.

Utusan Malaysia Online: 7 Mei 2009

Tiada ulasan: