KUALA LUMPUR 12 Mei - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kementerian Pelajaran sentiasa terbuka untuk meneliti sebarang cadangan dan idea ke arah membantu meningkatkan motivasi dan komitmen para guru.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, perkara ini sejajar dengan hasrat kerajaan yang mahu para guru berasa gembira dengan tanggungjawab besar mereka sebagai pendidik generasi masa depan.
"Profesion pendidikan bukan sahaja mulia tetapi mereka yang terlibat dengannya juga mesti gembira dengan galakan yang sepatutnya,'' katanya yang juga Menteri Pelajaran pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom.
Menurut Muhyiddin, beliau telah menyatakan perkara ini kepada wakil-wakil kesatuan sekerja dalam sektor pendidikan berikutan satu perjumpaan yang diadakan minggu lalu.
"Ia pertemuan yang mesra. Mereka memberikan pelbagai idea dan pandangan bagaimana untuk meningkatkan tahap pengajaran di negara ini. Mereka juga membangkitkan isu meningkatkan kebajikan dan standard profesion itu.
"Saya bersikap terbuka tentangnya dan saya mencadangkan supaya mereka menyampaikan (idea dan pandangan) itu secara formal dan kami dari semasa ke semasa akan melihat perkara-perkara yang dibangkitkan,'' jelasnya.
Menyentuh rungutan beban kerja berlebihan yang dihadapi guru-guru, Muhyiddin berkata, perkara itu sememangnya dalam perhatian beliau.
"Kita akui guru juga ada beban tugas lain kerana di samping mengajar, ada tanggungjawab lain yang perlu dilakukan mereka di sekolah.
"Kita akan teliti apa yang boleh kita lakukan dalam isu ini untuk terus meningkatkan semangat mereka dalam menjalankan tugas,'' ujarnya.
Mengenai lawatan beliau ke BTP hari ini, Muhyiddin mengakui bahagian itu memerlukan lebih banyak peruntukan untuk meningkatkan lagi keupayaannya dan keperluan ini akan diteliti oleh kerajaan.
Katanya, setakat ini lebih 200,000 guru telah dilatih untuk menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam pengajaran yang pastinya akan membantu meningkatkan lagi pencapaian pendidikan negara.
"Dengan menggunakan teknologi kita harap guru dan murid akan dapat secara lebih mudah menguasai ilmu melalui saluran ICT yang disediakan dan dengan cara begini kita harap jurang antara bandar dan luar bandar dapat dihapuskan.
"Kita harap cara menimba ilmu pengetahuan di kalangan pelajar kita ini dapat dimajukan setanding dengan kemajuan yang dicapai negara-negara yang maju dalam bidang pendidikan,'' katanya.
Utusan Malaysia Online: 13 Mei 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan