KUCHING, 10 Mei (Bernama) -- Kesatuan Guru Sarawak (STU) mencadangkan satu kajian semula berhubung hukuman rotan di sekolah termasuk memperkenalkan hukuman rotan untuk pelajar sekolah perempuan, dilakukan secara komprehensif.
Presiden STU William Ghani Bina berkata setakat ini peraturan hanya membenarkan pelajar lelaki dirotan manakala pelajar perempuan yang melakukan kesalahan dikenakan hukuman membuat kerja amal seperti mencuci tandas dan mengutip sampah.
"Hukuman rotan ini patut dilaksanakan untuk pelajar perempuan sekolah menengah dan bukan sekolah rendah," katanya kepada Bernama di sini, Ahad.
Ghani bagaimanapun berkata hukuman rotan ke atas pelajar perempuan hanya dibenarkan di bahagian tapak tangan pelajar perempuan itu dan tidak pada anggota badan lain.
"Adalah tidak adil kepada pelajar lelaki yang menerima hukuman rotan manakala pelajar perempuan hanya mendapat hukuman ringan walaupun kesalahan dilakukan adalah sama kerana ada sesetengah pelajar perempuan masa kini yang menghadapi masalah displin lebih teruk daripada pelajar lelaki sehingga ada yang terlibat menjadi samseng," katanya.
Beliau berkata hukuman rotan ke atas pelajar perempuan adalah relevan memandangkan kini gejala sosial negatif semakin membimbangkan antaranya tomboy yang tidak segan-silu melakukan pelbagai masalah displin.
Mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi dalam sebuah akhbar harian hari ini bahawa hukuman rotan akan diperkenalkan semula terhadap pelajar yang melanggar displin, beliau berkata peraturan mengenai hukuman rotan di sekolah tidak pernah dihentikan.
"Peraturan hukuman rotan memang sudah ada, ia berbeza dengan yang dilakukan di penjara. Di sekolah hukuman rotan bersifat mendisiplinkan pelajar manakala di penjara bersifat menghukum," katanya, sambil menambah kata di sekolah hukuman rotan dikenakan ke atas pelajar perlu disaksikan oleh guru lain dan saiz rotan digunakan hendaklah mengikut panduan ditetapkan.
Dr Mohd mendakwa majoriti ibu bapa menyokong agar hukuman merotan dikuatkuasakan semula namun ada beberapa pihak termasuk golongan peguam yang membantahnya.
BERNAMA: 10 Mei 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan