Selasa, 6 April 2010

Belajar bawah bumbung bocor


T. Murugiah melihat kesan air pada siling akibat bumbung berlubang ketika melawat SJKT Bukit Darah, Sungai Buloh baru-baru ini. – UTUSAN/Hayat Sueet


SUNGAI BULOH 5 April – Yeswini Paidiah, 7, merupakan murid Tahun Satu di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bukit Darah di sini.

Dia dan rakan seusianya, Katiresh Segar tidak pernah ambil kisah soal tiada padang permainan atau kekurangan bilik darjah. Sebaliknya, di wajah mereka tetap ada keriangan dan keceriaan walaupun pada hakikatnya mereka belajar di sekolah yang kurang kemudahan infrastruktur.

Bagaimanapun, sebagai orang yang lebih dewasa, guru-guru dan ibu bapalah yang harus bertanggung jawab dan peka kepada kebajikan pelajar-pelajar ini.

Selain bermatlamat mencapai kejayaan dalam bidang kurikulum dan ko-kurikulum, mewujudkan iklim sekolah yang kondusif dan ceria juga menjadi tanggungjawab mereka.

Kemudahan seperti tandas dan padang permainan, selain bilik darjah, juga perlu berkeadaan baik dan selesa kerana ia antara faktor penyumbang kepada kecemerlangan para pelajar di sesebuah sekolah.

Tetapi ini tidak terdapat di SKJT Bukit Darah.

Guru dan ibu bapa murid-murid ini sentiasa berasa bimbang terhadap keselamatan dan keselesaan di sekolah ini, berikutan keadaan bumbung sekolah yang dibuka sejak 1963 itu didapati semakin uzur. Ia bocor di sana sini.

Difahamkan, setiap kali hujan, pelajar-pelajar terpaksa belajar dalam keadaan tidak selesa dan terganggu.

Kerosakan fizikal kerana hujan lebat itu timbul sejak empat tahun lalu dan Pejabat Pelajaran Daerah telah mengambil inisiatif membaiki bumbung tersebut.

Demi keselesaan pelajar, pihak sekolah dan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) sentiasa berusaha memberi yang terbaik kepada mereka.

Difahamkan, pada tahun 2007, masalah serupa turut dialami bangunan Blok A juga diakibatkan hujan lebat, bagaimanapun keprihatinan Menteri Kerja Raya ketika itu iaitu Datuk Seri S. Samy Vellu menyumbangkan peruntukan membaiki bumbung dan memasang jubin untuk ruang pejabat melegakan sedikit kebimbangan mereka.

Setahun berikutnya, sebuah pondok pengawal dibina, diikuti pembinaan kantin tambahan dan gelanggang bola keranjang, selain menambah dua bilik darjah.

Utusan Malaysia difahamkan aduan mengenai masalah tersebut telah diajukan kepada Pejabat Pelajaran Daerah Gombak.

Melalui satu surat yang diterima pada Januari 1009, Jabatan Kerja Raya (JKR), Daerah Petaling telah meluluskan peruntukan sebanyak RM150,000 untuk kerja-kerja membaik pulih sekolah berkenaan.

Apa yang menjadi tanda tanya sehingga kini tiada apa-apa perkembangan berlaku.

Namun, kehadiran Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah ke sekolah berkenaan baru-baru ini seolah-olah memberi sinar baru kepada semua warganya.

Ini kerana tindakan pantas Pengerusi Biro Pengaduan Awam (BPA) itu menghubungi JKR Daerah Petaling pada masa itu juga, secara tidak langsung menghuraikan tanda tanya mereka selama ini.

Maklum balas menyatakan peruntukan sebanyak RM150,000 yang diluluskan itu didakwa telah habis digunakan atas nama sekolah berkenaan.

Walaupun agak mengejutkan, jauh di sudut hati seluruh warga sekolah menaruh harapan agar Murugiah dapat membantu mereka menyelesaikan masalah tersebut.

Menyingkap sejarah awal, sebelum zaman Jepun terdapat tiga bahagian sekolah berasingan iaitu di Ladang Stralee, Ladang Elmina dan Ladang Bukit Darah. Pada tahun 1969 sekolah di Ladang Stralee dan Ladang Elmina digabungkan dengan sekolah di Ladang Bukit Darah.

Sebanyak 234 murid dari Tahun 1 hingga 6 yang kebanyakannya tinggal di ladang dan kawasan perumahan berhampiran bersekolah di sini dengan tenaga pengajar 18 orang.

Terdapat lapan kelas termasuk dua kelas kabin yang dijadikan kelas sementara.

Utusan Malaysia yang turut menyertai sesi lawatan tersebut mendapati bukan hanya kerosakan bumbung dialami, tetapi terdapat beberapa masalah lain yang perlu diberi perhatian.

Antaranya, kemudahan bilik bacaan atau perpustakaan di sekolah berkenaan. Tinjauan mendapati sebuah bilik darjah yang dijadikan perpustakaan itu langsung tidak mendorong pelajar kepada minat membaca. Ini kerana bukan sahaja ruangnya yang sempit, malah bahan bacaannya juga agak terhad.

Dalam hal berkaitan, Murugiah berkata berbeza dengan sekolah bantuan penuh yang mendapat peruntukan kerajaan sepenuhnya, sekolah bantuan modal dikelolakan oleh Lembaga Sekolah.

“Dalam keadaan ini membuktikan kerajaan masih prihatin dengan meluluskan peruntukan ke sekolah seumpamanya. Dalam hal ini saya akan memanggil semua pihak termasuk JKR Daerah Petaling, wakil Kementerian Pelajaran dan pihak sekolah selewat-lewatnya minggu hadapan,” ujarnya.

Utusan Malaysia Online: 6 April 2010

1 ulasan:

Lakers berkata...

SMK Lake,Bau,Sarawak pun miliki bumbung bocor yang diguna oleh pelajar Ting.4 & Ting. 1.Apakata T Murugiah datang melawat SMK Lake?