Sabtu, 17 April 2010

Guru SK Rumah Barrau buktikan sekolah pedalaman tak dipinggir

2010/04/17

PELBAGAI insentif diberikan bagi menarik minat guru berkhidmat di pedalaman dan luar bandar dalam usaha mengatasi masalah kekurangan tenaga pengajar terlatih, sekali gus meningkatkan mutu pendidikan kawasan berkenaan.

Jika beberapa tahun lalu, elaun tambahan sehingga RM1,500 sebulan diberikan kepada guru berkhidmat di kawasan berkenaan, baru-baru ini, beberapa lagi insentif ditawarkan.

Antaranya, pengalaman berkhidmat di sekolah luar bandar dan pedalaman akan diambil kira dalam pertimbangan untuk kenaikan pangkat dan pemberian insentif lain, termasuk tawaran biasiswa melanjutkan pengajian ke tahap lebih tinggi.

Pemberian insentif itu jelas tujuannya, antara lain menggalakkan lagi minat guru ke pedalaman dan luar bandar, tetapi persoalannya apakah reaksi mereka sedang mengajar di kawasan berkenaan.

Apakah mereka turut berusaha lebih bagi mencapai matlamat meningkatkan mutu pendidikan kawasan terbabit atau sekadar menikmati insentif itu tanpa melakukan sesuatu yang lebih daripada biasa.

Dalam hal ini, ada yang mengatakan kesimpulannya ada pada guru itu sendiri, jika niat golongan itu untuk mendidik anak bangsa dan meningkatkan mutu pendidikan, mereka akan lakukan sekalipun tiada insentif.

Kesimpulan itu berasas, mungkin tidak membabitkan semua, tetapi tidak kurang guru sedang mengajar di pedalaman kini memberi komitmen terbaik selaras dengan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka.
Sebagai contoh, usaha dilakukan guru beberapa sekolah di pedalaman daerah Tatau, Sarawak, antaranya Sekolah Kebangsaan (SK) Rumah Barrau patut dijadikan contoh kerana mereka tidak menjadikan pedalaman sebagai faktor penghalang menjalankan tanggungjawab.

Pelbagai usaha dilakukan bagi meningkatkan mutu pendidikan sekolah itu, walaupun setakat ini belum mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan, matlamatnya jelas iaitu muncul sekolah cemerlang tahun ini.

Selain mewujudkan keceriaan sebagai projek fasa pertama yang berjaya menyediakan persekitaran belajar yang kondusif, sekali gus menarik minat pelajar ke sekolah, ia diiktiraf apabila menerima Anugerah Asrama Terbaik Negeri Peringkat Kebangsaan tahun lalu.

Kini sekolah diketuai Guru Besarnya, Tony Madup, memasuki projek fasa kedua merangkumi pelbagai program peningkatan akademik, antaranya memperkenalkan Radio Pendidikan Rumah Barrau (RPRB).

Sehubungan itu, jika ada yang berpeluang bermalam di sekolah itu, jangan terkejut apabila seawal jam 6.45 pagi terdengar suara kuat mengucapkan selamat pagi dan salam 1Malaysia.

RPRB ke udara tiga kali sehari, iaitu pada jam 6.45 hingga 7 pagi dengan rancangan Selamat Pagi SK Rumah Barrau, diikuti 9.45 hingga 10 pagi (Rancangan Bahasa Kita) dan 4.30 hingga 5 petang (Irama Senja SK Rumah Barrau).

Tony berkata, RPRB diwujudkan bagi mendedahkan murid antara lain perkara ketika berlaku di sekolah dan menyebarkan berita berkaitan pendidikan serta saluran pembelajaran menerusi radio sendiri.

“Pelaksanaan RPRB terbukti memberi peluang murid meningkatkan keyakinan diri menjadi juruhebah, pengacara dan penyampai berita,” katanya kepada Berita Harian yang melawat sekolah itu, baru-baru ini.

Beroperasi di studio mini di Bilik Komputer, beliau berkata, semua rancangan dikendalikan murid sendiri dan ia boleh diikuti semua warga sekolah itu kerana pembesar suara dipasang di beberapa tempat strategik.

Kini, sesiapa yang berpeluang ke SK Rumah Barrau pasti terkejut kerana persekitaran dan halaman sekolah ditubuhkan sejak 50 tahun lalu itu amat berbeza berbanding sekolah lain, hasil projek fasa pertama.

Tidak ubah seperti sebuah resort, sekolah dengan 86 murid itu kini bukan saja lengkap pelbagai kemudahan, malah persekitarannya bermotivasi kerana dipenuhi papan tanda kata-kata semangat, panduan serta kawasan pembelajaran mengikut mata pelajaran.

Tony menjelaskan projek fasa pertama ialah menyediakan tempat dan suasana yang mampu menarik minat murid belajar dan suka ke sekolah. Sekarang memasuki fasa kedua, iaitu memantapkan pencapaian akademik.

“Visi kami SK Rumah Barrau cemerlang 2010. Pelbagai usaha dijalankan bagi mencapai matlamat ini, sekali gus keluar daripada kepompong Sekolah Pencapaian Rendah.

“Sasaran kami bukan saja ada murid mendapat 5A, malah 81.82 peratus mencapai kelulusan minimum C dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah tahun ini, berbanding 28.57 peratus tahun lalu,” katanya.

Berita Harian Online: 17 April 2010

1 ulasan:

Ibnu Rashid berkata...

salam,
tak ada gambar sekolah nie ka, nak tengok jgak mcm mn rupa sekolah pedalaman nie sekarang.