Rabu, 21 April 2010

Kecewa kenaikan pangkat di Institut Pendidikan Guru

SAYA telah berkhidmat di Institut Pendidikan Guru (IPG) selama tujuh tahun. Pada tahun 2006, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak (ketika itu Timbalan Perdana Menteri) mengumumkan seluruh institut perguruan dinaikkan taraf kepada Institut Pendidikan Guru (IPG).

Sehubungan itu, semua pensyarah dinaikkan taraf. Pensyarah gred DG41 bakal dinaikkan ke gred DG44 dan seterusnya hingga ke gred DG54 atau JUSA.

Sebahagian kenaikan gred itu telah dilaksanakan pada tahun 2009. Kenaikan itu dilaksanakan mengikut Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3. Saya tergolong dalam Fasa 3. Golongan Fasa 1 dan 2 terdiri daripada pensyarah DG48 ke atas. Kenaikan pemangkuan jawatan dalam Fasa 1 dan 2 telah pun disahkan kenaikan pangkat mereka.

Malangnya, kenaikan saya dari DG44 ke DG48 belum lagi bermula. Telah tiga kali dokumen peribadi diminta oleh KUKP IPG dan dihantar ke Bahagian Pendidikan Guru (BPG). Namun sehingga hari ini tiada perkembangan positif.

Apabila ditanya pihak berkenaan di BPG, mereka mengatakan segala maklumat itu telah dihantar ke Bahagian Sumber, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Apabila saya bertanya di Bahagian Sumber KPM, mereka memberitahu tidak menerima apa-apa maklumat Fasa 3 dari BPG.

Saya berasa sangat kecil hati dan terhina diperlakukan seperti ini. Telah tujuh tahun berkhidmat di IPG dan 10 tahun dalam gred DG41, tetapi belum menerima hak pemangkuan sebagaimana dijanjikan.

Lebih berkecil hati apabila melihat rakan-rakan yang baharu tiga tahun berkhidmat di IPG telah dinaikkan ke gred DG48, sedangkan permulaan gred DG41 sama dengan saya.

Saya rasa ini satu penganiayaan oleh BPG terhadap kakitangannya. Hal ini tidak sepatutnya berlaku. Saya berharap pihak berkenaan dalam Kementerian Pelajaran dapat memberi perhatian terhadap aduan ini.

PENSYARAH TERANIAYA

Kuala Lumpur


Utusan Malaysia Online: 21 April 2010

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

hairan!
Apa yang BPG buat?
Kesian, hamba Allah ini berada dalam golongan tercicir.
Bakul buruk kot. Berlubang banyak jadi BANYAK yang tercicir. Kementerian pelajaran banyak bakul buruk. Bukan BPG sahaja. Jabatan Pelajaran Negeri pun buat hal.Kalau begini halnya option pencen 58 boleh memberi kesan bertambahnya bakul-bakul buruk, memang bahaya.

Tanpa Nama berkata...

agaknya dalam dunia pendidikan perlu menjadi jebat baru dapat menggegarkan mereka yang diamanahkan untuk melaksanakan tugasnya dengan adil. Semakin didiamkan semakin menyakitkan.