Isnin, 8 November 2010

Abd. Ghafar KP Pelajaran baharu

KUALA LUMPUR 7 Nov. - Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa Pengarah Institut Aminuddin Baki, Datuk Abd. Ghafar Mahmud (gambar), 54, dilantik menjadi Ketua Pengarah Pelajaran yang baharu berkuat kuasa esok.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran memberitahu, Abd. Ghafar akan menggantikan Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom yang bersara wajib hari ini.

''Selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan Perkara 144(3), Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri telah memperkenankan pelantikan Abd. Ghafar sebagai Ketua Pengarah Pelajaran yang baharu,'' katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Beliau memberitahu, pelantikan Abd. Ghafar dibuat berasaskan pengalaman luas dalam bidang pendidikan, pengetahuan serta kompetensi yang dimilikinya.

''Kerajaan percaya, pengalaman, pengetahuan serta komitmen Abd. Ghafar akan membolehkan beliau melaksanakan tugas seperti mana diperuntukan oleh Akta Pendidikan 1996,'' kata beliau.

Tambah Muhyiddin, kerajaan juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Alimuddin atas sumbangan kepada perkhidmatan awam serta negara selama 34 tahun.

Alimuddin memegang jawatan Ketua Pengarah Pelajaran sejak 16 Julai 2007.

Abd. Ghafar berkelulusan Ijazah Sarjana dalam bidang pendidikan dari Universiti of East Aglia, Norwich, United Kingdom serta pemegang Ijazah Sarjana Muda Sastera dari Universiti Malaya.

Beliau memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam sebagai pegawai perkhidmatan pelajaran pada 1 Mei 1977.

Sepanjang perkhidmatannya di Kementerian Pelajaran, Abd. Ghafar memegang pelbagai jawatan antaranya sebagai Pengarah Institut Aminuddin Baki sejak tahun lepas, Ketua Nazir, Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti pada 2008 dan Pengarah Bahagian Sukan, Seni dan Kokurikulum pada 2007.

Di samping itu, beliau juga pernah menjawat jawatan Ketua Penolong Pengarah, Unit Berasrama Penuh serta Ketua Penolong Pengarah, Unit Perancang dan Pembangunan, Bahagian Sekolah pada 2001.

Utusan Malaysia Online: 8 November 2010

Tiada ulasan: