Isnin, 1 November 2010

PIBG SKS1 berjaya kumpul dana RM121,000

Oleh Nor Azma Laila
norazma@bharian.com.my
2010/11/01

PROGRAM Juara Rakyat dan Kinrara Run 2 anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Seksyen 1 (SKS1), Bandar Kinrara, Selangor berjaya mengumpul dana RM121,000 bagi membangunkan pelbagai kemudahan di sekolah berkenaan.

Program kerjasama Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang, yang diadakan baru-baru ini membabitkan larian, pameran pendidikan dan jualan gerai makanan diserikan kehadiran Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Yang Dipertua PIBG SKS1, Lt Kol (B) Roslan Abd Shukor.

Guru Besar SKS1, Zalijah Mohd Noor, berkata dana yang diperoleh itu akan digunakan bagi menampung kos membina dewan terbuka sekolah itu supaya dapat menampung lebih ramai pelajar pada satu-satu masa.
Katanya, sejak beroperasi 10 tahun lalu, sekolah itu hanya mempunyai dewan kecil membabitkan bilik kelas yang dibuka dan dijadikan dewan apabila diadakan sesuatu program.

“Dewan sedia ada hanya mampu memuatkan murid tahap Satu kira-kira 400 orang saja. Jika sekolah menganjurkan sesuatu program besar, pihak kami terpaksa membuatnya tiga sesi bagi memastikan semua pelajar dapat mengikuti aktiviti yang dianjurkan,” katanya.

Zalijah berkata, situasi itu merumitkan berikutan SKS1 yang mempunyai 1,700 murid.

Beliau berharap dengan adanya dana itu, SKS1 boleh membina dewan terbuka yang boleh memuatkan kira-kira 1,000 murid.
Katanya, selain membina dewan berkenaan, dana itu juga digunakan membaikpulih kemudahan komputer yang agak ketinggalan dan menubuhkan dua makmal komputer untuk kegunaan murid.

Selain larian, program itu juga diserikan pameran pendidikan daripada agensi kerajaan dan swasta serta badan bukan kerajaan (NGO) dan jualan makanan.

Antara agensi mengambil bahagian ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional , Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Penerangan Malaysia, Jabatan Kesihatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Malaysia, Bank Simpanan Nasional (BSN), Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Bagi aktiviti larian, beberapa kategori diadakan antaranya kategori rendah lelaki dan perempuan (10 hingga 12 tahun), menengah lelaki dan perempuan (13 hingga 19 tahun), senior lelaki dan perempuan (20 hingga 39 tahun) dan veteran lelaki dan perempuan (40 tahun ke atas).

Sementara itu, murid darjah empat SKS1, Muzafar Hasbullah teruja menyertai larian buat kali pertama di sekolah itu.

Dia berharap program ini dapat dijalankan setiap tahun kerana dan dapat membantu menyumbang dana kepada sekolah sekali gus menyihatkan badan.

“Walaupun tidak menang, saya seronok dapat menyertai larian ini kerana dapat berjumpa kawan-kawan dan dalam masa sama beriadah untuk menyihatkan badan,” katanya.

Murid darjah lima, Aina Syazana Effendy, berkata program berkenaan amat berguna kerana selain menyihatkan badan juga mendapat maklumat terkini agensi kerajaan dan swasta.

“Saya bukan saja dapat menyertai larian, juga dapat melihat pameran pendidikan yang diadakan di samping belajar pelbagai perkara baru melalui pameran diadakan,” katanya yang sudah dua kali menyertai larian berkenaan.

Berita Harian Online: 1 November 2010

Tiada ulasan: